Selasa, 18 Februari 2020 | 1:00pm

Lelaki sindrom down usahakan kiosk jual makanan

KOTA BHARU: Biarpun dilahirkan sebagai sindrom down, ia tidak menghalang seorang lelaki menjana pendapatan dengan mengusahakan kiosk menjual makanan sendiri.

Mohamad Azlan Mat Dom, 24, dibantu ibunya, Hasniza Idris, 50, berniaga makanan seperti waffle, jagung manis, ais krim dan minuman berdekatan sebuah pasar raya di Kampung Kedai Mulong, di sini, sejak empat bulan lalu.

Hasniza berkata, kiosk terbabit dibuka atas permintaan anak istimewanya sendiri kerana dia memang berminat untuk berniaga selain sebagai langkah mendisiplinkan serta mengajar dia untuk bersosial.

“Memandangkan keadaanya yang tidak sempurna seperti anak yang lain, saya perlu sentiasa memantau dan membantu ketika di kedai terutama jika menggunakan alatan elektronik atau dapur membuat Waffle.

“Biasanya saya yang menyediakan makanan, manakala tugas Azlan untuk persediaan air atau mengambil wang. Dia juga dilatih untuk berurusan sendiri dengan pelanggan yang mahu membayar tetapi dengan pantauan saya

“Setiap hari saya yang membuka kiosk ini manakala Azlan berada di sini pada jam 3 petang selepas dia selesai solat Zohor, kerana pada sebelah pagi dia berada di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjong,” katanya ketika ditemui di kedai miliknya di Kedai Mulong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Azlan anaknya yang ketiga daripada enam adik beradik itu adalah pelajar istimewa di bawah kelolaan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini.

“Azlan anak yang sangat menyenangkan saya dan suami, Mat Dom Osman, 58, serta tidak pernah meninggalkan solat lima waktu selain selalu berjemaah di masjid berdekatan rumah.

“Walaupun dia anak sindrom down, saya bersyukur kerana dia masih mampu berkomunikasi dan berdikari. Malah, dia juga boleh membaca dan menulis walaupun tidak sempurna seperti anak yang lain.

“Dia memiliki hati yang baik, malah jika ada pelanggan yang senasib sepertinya pasti dia memberi makanan dan minuman secara percuma,” katanya yang tinggal di Kampung Lubuk Jambu, Kedai Mulong, di sini.

Mohamad Azlan yang tidak lekang dengan senyuman dilihat begitu ramah melayan pelanggan malah sempat bergurau terutama jika yang datang ke kiosknya adalah kanak-kanak

Menurut ibunya, warga emas juga antara golongan yang rapat dengan anak istimewa itu kerana dia selalu ke masjid termasuk membantu ahli jawatakuasa di sana jika ada sebarang program kemasyarakatan.

Azlan dibantu ibunya, Hasniza berniaga makanan berdekatan sebuah pasar raya di Kampung Kedai Mulong sejak empat bulan lalu. - NSTP/Syaherah Musaafa
Azlan dibantu ibunya, Hasniza berniaga makanan berdekatan sebuah pasar raya di Kampung Kedai Mulong sejak empat bulan lalu. - NSTP/Syaherah Musaafa
Berita Harian X