Isnin, 10 Februari 2020 | 4:37pm
Miftah (tiga dari kiri) menemui Fida Arina (tiga dari kanan) dan ibunya (kanan sekali) pada Program Ziarah Cakna PPD Kuantan di Permatang Badak Aman, Kuantan. - Foto Asrol Awang
Miftah (tiga dari kiri) menemui Fida Arina (tiga dari kanan) dan ibunya (kanan sekali) pada Program Ziarah Cakna PPD Kuantan di Permatang Badak Aman, Kuantan. - Foto Asrol Awang

Penyakit kulit Fida Arina menghalangnya hadir ke sekolah

KUANTAN: Masalah kesihatan menyebabkan seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini gagal hadir ke sekolah.

Fida Arina Fakhorurazi, 15 hanya berada di rumahnya di Permatang Badak Aman, di sini disebabkan penyakit kulit yang dialaminya sejak Tingkatan Satu.

Menurut ibunya, Azlina Abdul Rashid, 36, anak sulung daripada empat beradik itu bukannya tidak mahu menghadiri sesi persekolahan tetapi disebabkan masalah kesihatan, keadaan persekitaran dan tidak boleh berpeluh menyebabkan hasratnya ke sekolah terhalang.

“Penyakitnya semakin serius pada sesi terakhir persekolahan tahun lalu dan ada ketikanya pulang awal disebabkan rasa gatal pada kulit.

“Saya sudah mendapatkan rawatan ke klinik dan perubatan tradisional tetapi penyakit yang dialami masih belum pulih,” katanya. ditemui di rumahnya hari ini, sempena Program Ziarah Cakna peringkat daerah Kuantan yang turut dihadiri oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, Miftah Surif.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Bukit Rangin, Abdul Razak Ahmad dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zamzuriadi Samsudin.

Sementara itu, Miftah berkata, pihaknya sedia membantu untuk memastikan pelajar berkenaan dapat kembali ke sekolah seperti pelajar lain.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan masalah kesihatan yang dihadapi untuk mengelak keciciran dalam pelajaran.

“Justeru, PPD mengadakan Program Ziarah Cakna dan meminta pihak sekolah iaitu pengetua dan guru besar lebih peka mengenai kehadiran dan perkembangan pelajar di sekolah masing-masing.

“Jika ada pelajar yang dikesan tidak hadir ke sekolah, pengurusan sekolah perlu mendapatkan maklumat bagi mengenal pasti faktor pelajar terbabit gagal hadir ke sekolah,” katanya.

Terdahulu, Miftah merasmikan Program Ziarah Cakna peringkat daerah Kuantan di SMK Bukit Rangin, bertujuuan memastikan isu keciciran pelajar dapat ditangani melalui aktiviti ziarah untuk lebih mendekati pelajar dan ibu bapa.

Berita Harian X