Isnin, 10 Februari 2020 | 3:11pm
SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM).
SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM).

SKM agih lebih RM11 juta kepada 11 koperasi di Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengagihkan dana berjumlah RM11.08 juta kepada 11 koperasi di Sarawak, bagi menggalakkan mereka melaksanakan projek berdaya maju dan membabitkan diri dalam pelbagai kegiatan ekonomi serta sosial demi manfaat kepada anggota.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh, berkata RM10.7 juta diperuntukkan kepada enam buah koperasi menerusi pembiayaan Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP-JPK).

“Sebahagian besarnya iaitu RM10 juta diagihkan kepada Koperasi Kastam Sarawak Bhd, Koperasi Guru Bumiputera Sarawak Bhd, Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak Bhd, Koperasi Koperkasa Sarawak Bhd dan Koperasi Kojaksa Sarawak Bhd, untuk modal pusingan pinjaman anggota, manakala selebihnya RM700,000 ribu digunakan oleh Koperasi Bunan Serian Bhd bagi membiayai pembelian seunit bangunan kedai dua tingkat.

“Aktiviti kredit sememangnya penyumbang utama pendapatan koperasi di Sarawak. Pada 2018 iaitu 41 peratus atau RM101.8 juta daripada RM248.3 juta keseluruhan perolehan, membabitkan 24 daripada 1,054 koperasi di seluruh Sarawak,” katanya pada majlis penyampaian dana, di sini.

Pada Tahun 2019, SKM menyalurkan dana pembiayaan TMP-JPK berjumlah RM65 juta kepada 63 buah koperasi sebagai modal tambahan, manakala RM5 juta bantuan pembangunan diluluskan kepada 147 buah koperasi.

Beliau berkata, SKM turut menyampaikan geran bantuan pembangunan bernilai RM380,000 kepada lima koperasi di Sarawak bagi membiayai kos pembinaan dan operasi kedai serta pembiayaan kos pembelian peralatan kelengkapan.

“Ia membabitkan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas Kuching Bhd, Koperasi Mentu Tapu Serian Bhd, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan St Teresa Kuching Bhd, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bako Kuching Bhd dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Green Road Kuching Bhd.

“SKM juga membantu koperasi menjalankan aktiviti yang boleh menjana pendapatan untuk memenuhi keperluan komuniti setempat dan meningkatkan sosio ekonomi anggota melalui khidmat nasihat serta bimbingan projek yang dipantau dari semasa ke semasa.

“SKM memberi fokus kepada projek titik permulaan (EPP) dalam bidang Pemborongan dan Peruncitan bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutama golongan B40 dan M40.

“Selain itu, EPP lain juga turut diberi perhatian seperti kewangan, pembangunan hartanah dan industri pembinaan, pertanian dan asas tani, perladangan dan pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan yang turut menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, SKM juga menitikberatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada koperasi selaras dengan ledakan ICT seperti Industri Revolusi 4.0 yang sudah pasti dapat membantu meningkatkan kecekapan urus tadbir koperasi.

“Sehubungan itu, SKM memperkenalkan banyak urusan menggunakan dalam talian bertujuan memudah dan mempercepatkan urusan koperasi seperti permohonan bantuan, pembiayaan dan penubuhan koperasi,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai isu kekangan Akta Koperasi, beliau menjelaskan SKM sudah membuat pindaan kepada beberapa peruntukan mengikut keperluan semasa dan sedang menunggu untuk dibentangkan di Parlimen oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Berita Harian X