Ahad, 9 Februari 2020 | 8:44am
300 liter minyak petrol yang cuba diseludup di kawasan perairan Pulau Sisipan, dekat Semporna petang semalam. - Foto ihsan PPM
300 liter minyak petrol yang cuba diseludup di kawasan perairan Pulau Sisipan, dekat Semporna petang semalam. - Foto ihsan PPM

Cubaan seludup minyak petrol gagal

SEMPORNA: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar 300 liter minyak petrol bernilai RM19,012 gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Pulau Sisipan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, suspek yang menggunakan sebuah perahu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Unit Risik Marin (URM) sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati suspek berumur 28 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, selain mengaku dari suku Palauh dan berasal dari Kampung Kulapuan, Semporna.

“Hasil pemeriksaan dalam ruangan perahu itu menemukan 10 tong jerikin dengan setiap satu berisi 30 liter minyak petrol, selain satu tong gas memasak LPG yang cuba di seludup ke Filipina.

“Suspek juga gagal menunjukkan permit atau dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang kawalan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Pajari, berkata suspek mengaku memperoleh bekalan minyak petrol terbabit sedikit demi sedikit sebelum diseludup ke Filipina.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961.

Suspek ditahan PPM kerana cuba menyeludup 300 liter minyak petrol di kawasan perairan Pulau Sisipan, dekat Semporna petang semalam. - Foto ihsan PPM
Suspek ditahan PPM kerana cuba menyeludup 300 liter minyak petrol di kawasan perairan Pulau Sisipan, dekat Semporna petang semalam. - Foto ihsan PPM

Berita Harian X