Khamis, 6 Februari 2020 | 11:09am
KEADAAN dapur premis makanan yang diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana mengabaikan kebersihan premis masing-masing dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan, Kampung Baru Subang, Seksyen U5 dan Seksyen U16. NSTP/Ihsan MBSA
KEADAAN dapur premis makanan yang diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana mengabaikan kebersihan premis masing-masing dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan, Kampung Baru Subang, Seksyen U5 dan Seksyen U16. NSTP/Ihsan MBSA

Dua premis makanan diarah tutup serta merta

SHAH ALAM: Jijik! Demikian persekitaran dapur dua premis makanan yang diarah tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan di sini, kelmarin.

Operasi yang dijalankan oleh MBSA pada pagi kelmarin itu membabitkan dua buah premis di Kampung Baru Subang, Seksyen U5 dan Seksyen U16, di sini.

Difahamkan, ketika penguat kuasa datang membuat pemeriksaan, ada lauk yang hendak dibungkus untuk pelanggan berada di dalam kuali yang diletakkan di lantai dapur yang kotor.

KEADAAN dapur makanan yang diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana mengabaikan kebersihan premis masing-masing dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan, Kampung Baru Subang, Seksyen U5 dan Seksyen U16. NSTP/Ihsan MBSA
KEADAAN dapur makanan yang diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana mengabaikan kebersihan premis masing-masing dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan, Kampung Baru Subang, Seksyen U5 dan Seksyen U16. NSTP/Ihsan MBSA

Begitu juga keadaan tempat penyediaan makanan, tempat menyimpan makanan, dapur serta tempat membasuh pinggan mangkuk yang sangat kotor.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata ketika pemeriksaan dijalankan, premis makanan itu sedang beroperasi seperti biasa.

“Pemeriksaan kita mendapati keadaan premis tidak terurus, khususnya bahagian dapur. Ada makanan yang disediakan (berada dalam kuali di lantai dapur) untuk dibungkus kepada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shahrin berkata, pemeriksaan mendapati pemilik premis makanan masih lagi mengabaikan tahap kebersihan premis masing-masing.

“Khususnya dari aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan yang kurang bersih, kebersihan tandas yang kurang memuaskan, pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid) dan sebagainya.

“Dalam operasi ini, dua buah premis diarahkan tutup kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan di bawah seksyen 62(1)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBSA) 2007 (Premis tidak sanitasi), ” katanya.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 18 premis diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MBSA 2007.

Sementara itu, sepanjang tahun lalu bermula Januari sehingga November, sebanyak 54 premis makanan diarahkan tutup.

“Jumlah premis yang diperiksa adalah 778 premis, daripada jumlah itu 54 premis diarahkan tutup dan 573 premis dikenakan kompaun,” katanya.

Katanya, operasi terbabit akan dijalankan secara berkala setiap bulan bagi memastikan premis-premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“MBSA berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan serta mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid (TY2), menghadiri kursus pengendalian makanan, dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan yang dikeluarkan oleh MBSA,” katanya.

Tamat...

Berita Harian X