Rabu, 5 Februari 2020 | 10:42am
Dr Sahruddin (tengah) pada Majlis Pra-Pelancaran FIJO 2020 di Johor Bahru, semalam. - Ihsan Twitter Dr Sahruddin
Dr Sahruddin (tengah) pada Majlis Pra-Pelancaran FIJO 2020 di Johor Bahru, semalam. - Ihsan Twitter Dr Sahruddin

Johor tubuh majlis halal negeri

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menubuhkan Majlis Halal Negeri Johor dengan kerjasama agensi yang berkaitan bagi memacu inisiatif berkaitan halal dan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan umat Islam.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata langkah itu bagi merealisasikan hasrat pembangunan sebuah hub halal utama di rantau Asia, selaras dengan Belanjawan Johor 2020.

“Majlis Halal Negeri Johor ini akan bertindak sebagai ejen dalam melancarkan urus tadbir dan proses persijilan halal bagi produk dan industri halal di negeri ini.

“Selaras dengan Dasar Halal Negara, kerajaan negeri turut memberi penekanan dan menggandakan usaha bagi memperkasa industri halal di Johor,” katanya semasa berucap sempena Majlis Pra-Pelancaran Festival Islam & Halal Antarabangsa Johor (FIJO) 2020 di Hotel Double Tree Hilton, di sini, semalam.

Katanya, semua ini membuktikan Kerajaan Negeri Johor melalui segala ruang akan memastikan syiar Islam terus berkembang selain sentiasa diperkasakan setiap masa.

Tambahnya, industri pasaran halal sedang berkembang berdasarkan data industri merekodkan pengguna halal dari seluruh dunia berbelanja lebih RM4.9 trilion untuk makanan dan minuman.

Sementara sasaran pada tahun 2022, angka ini dijangka meningkat melebihi RM7.8 trilion.

“Perkembangan industri halal ini juga amat pesat di Asia Tenggara dengan Malaysia berada di kedudukan pertama,” katanya.

Berita Harian X