Selasa, 4 Februari 2020 | 3:41pm
Sultan Kedah (tengah) berkenan menyampaikan bantuan peralatan hospital kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Dr Zaiton Udin pada Majlis Perasmian Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di TH Hotel & Convention Centre Alor Setar hari ini. Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Amar Sheikh Mahmood Naim (kiri) - Foto BERNAMA
Sultan Kedah (tengah) berkenan menyampaikan bantuan peralatan hospital kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Dr Zaiton Udin pada Majlis Perasmian Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di TH Hotel & Convention Centre Alor Setar hari ini. Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Amar Sheikh Mahmood Naim (kiri) - Foto BERNAMA

Ketua jabatan di Kedah diminta laksanakan potongan gaji untuk zakat

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, meminta semua ketua jabatan agensi kerajaan dan swasta melaksanakan potongan gaji ke atas kakitangan mereka bagi membayar zakat pendapatan.

Baginda bertitah, potongan gaji perlu dibuat mengikut taksiran betul bagi pekerja yang mempunyai pendapatan melebihi nisab ditetapkan.

Titahnya, setiap individu yang bertugas di bawah agensi dan syarikat korporat yang beroperasi di Kedah harus membayar zakat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Ini kerana berdasarkan sejarah, Kedah adalah negeri pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang menyeru rakyatnya menunaikan zakat melalui Undang-Undang Seruan Berzakat sejak tahun 1667 lagi.

“Justeru, selaku ulilamri di Kedah, beta ingin memastikan agar para asnaf yang layak menerima zakat mendapat hak mereka sewajarnya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian pusat bekalan makanan fakir dan miskin (Foodbank) LZNK dan pelancaran sambutan 350 seruan berzakat di sini, hari ini.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut bertitah baginda berbangga dengan kejayaan LZNK pada tahun lalu yang berjaya mencatat pengagihan zakat berjumlah RM194.9 juta kepada asnaf.

“LZNK juga telah mendigitalkan operasi kutipan dan agihan zakat dengan melaksanakan sistem ‘Zakat On Touch’ di mana masyarakat boleh mengetahui jumlah kutipan dan agihan zakat terkini dan kepada siapa wang zakat diagihkan secara telus.

“Bagi tujuan mengangkat martabat institusi masjid, LZNK juga mengagihkan zakat melalui Penolong Amil yang dilantik serta melaksanakan projek Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin di semua masjid yang memberi manfaat kepada 17,280 keluarga sebulan,” titahnya.

Baginda berharap, projek Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin itu dapat mengatasi isu rakyat berkaitan masalah kelaparan dan terputus bekalan makanan, selain dapat memberi peluang kepada semua syarikat korporat, agensi dan individu untuk sama membantu memberi sumbangan melalui kaedah bersedekah atau tanggungjawab sosial korporat.

Berita Harian X