Jumaat, 31 Januari 2020 | 6:26pm
Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pelancong China dijangka menurun di Pahang

KUANTAN: Jumlah kedatangan pelancong luar negara terutama dari China dijangka mengalami penurunan kesan daripada wabak coronavirus baharu (2019-nCoV).

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar, berkata ini kerana pelancong China adalah penyumbang utama kedatangan pelancong ke negeri itu.

Berdasarkan statistik tahun lalu, seramai sejuta pelancong luar negara adalah dari China.

“Kesan daripada wabak coronavirus, kita tidak nafikan kemungkinan berlaku berlaku penurunan jumlah kedatangan pelancong dari China.

“Bagaimanapun, kesan penurunan kedatangan pelancong luar negara hanya dapat diketahui pada suku pertama tahun ini.

“Dalam kes ini, kita harapkan penularan virus ini dapat ditangani lebih cepat berdasarkan langkah pencegahan dilakukan kerajaan,” katanya.

Ishak berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat penularan dan kawalan coronavirus di De Rhu Beach Resort, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Hamdan Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Datuk Suhaimi Mohd Yunus dan Pegawai Pejabat Kesihatan Kuantan, Dr Fatimah A Majid.

Turut sama, wakil Pengerusi Persatuan Hotel Daerah Kuantan dan wakil agensi pelancongan sekitar Kuantan.

Sementara itu, Hamdan berkata, MPK dan Pejabat Kesihatan Kuantan komited memastikan aktiviti saringan kesihatan di hotel dan premis penginapan di daerah ini.

Katanya, langkah itu sebagai langkah kesiapsiagaan dalam menangani jangkitan virus terbabit.

“Antara usaha dilakukan termasuk memastikan pengimbas haba ketika daftar masuk ke hotel dan premis penginapan bagi mengesankehadiran mereka yang mempunyai gejala demam.

“Sekiranya ada pengunjung yang disyaki, individu diminta membuat pemeriksaan lanjut.

“Di daerah ini, sebanyak 175 hotel dan premis penginapan yang menerima secara purata seramai dua juta pelancong termasuk pelancong China antara 10,000 hingga 13,000 pelancong,” katanya.

Berita Harian X