Rabu, 29 Januari 2020 | 3:27pm
DUA beradik, Nurul Faizatul Akmal Shukri, 16 (kiri) bersama adiknya, Nurul Sahana, 13, yang sebelum ini bergilir-gilir menjaga arwah ibu mereka, Hafsah Ismail, 55, yang sudah meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat malam tadi. NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
DUA beradik, Nurul Faizatul Akmal Shukri, 16 (kiri) bersama adiknya, Nurul Sahana, 13, yang sebelum ini bergilir-gilir menjaga arwah ibu mereka, Hafsah Ismail, 55, yang sudah meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat malam tadi. NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Dua beradik hilang tempat bergantung

MACHANG: Dua beradik dari Kampung Galang, Pulai Chondong, kini hilang tempat bergantung apabila ibu mereka meninggal dunia akibat penyakit kanser paru-paru, malam tadi.

Hafsah Ismail, 55, yang disahkan menghidap kanser tahap empat sejak bulan lalu meninggal dunia jam 9.15 malam.

Anak sulung arwah, Nurul Faizatul Akmal Shukri, 16, berkata sejak seminggu lalu, arwah ibunya hilang selera makan sehingga badannya menjadi lemah.

“Sejak itu, saya dan adik, Nurul Sahana, 13, tidak pernah meninggalkan ibu sendirian kerana dia kerap memanggil kami apabila tidak berada di sisinya.

“Kami reda dengan pemergian ibu kerana tidak sanggup melihat dia terus menderita menanggung sakit yang dihidapi. Saya dan adik kini terpaksa menumpang kasih sayang nenek selepas hilang tempat berpaut,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Nurul Faizatul Akmal Shukri dan adiknya, Nurul Sahana terpaksa mengharapkan belas ihsan orang lain apabila ibu yang menjadi tempat mereka bergantung terlantar akibat penyakit kanser paru-paru.

Sejak ibu bapa mereka bercerai lebih 10 tahun lalu, ibu mereka menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Pelbagai pekerjaan dilakukan oleh Hafsah termasuk mengambil upah mengasuh, menjual ais krim dan bekerja di kedai runcit dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.

Bagaimanapun, selepas Hafsah terlantar dan tidak boleh melakukan apa-apa pekerjaan disebabkan penyakit kanser yang dideritai, mereka sekeluarga bergantung kepada sumbangan wang zakat yang diberikan oleh jiran selain kenalan ibu mereka yang datang menziarahi.

Nurul Faizatul Akmal berkata, walaupun kehilangan ibu tersayang, dia serta adiknya perlu meneruskan hidup dan mahu belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mahu menghampakan harapan arwah ibu yang ingin melihat mereka berjaya.

“Arwah ibu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Galang, pada jam 11 pagi tadi dan kami reda dengan pemergian arwah. Kami berdoa agar arwah ibu ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Berita Harian X