Selasa, 28 Januari 2020 | 4:37pm
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali. -NSTP/Amran Hamid
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali. -NSTP/Amran Hamid

MADA henti salur air jika paras air terus menurun

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan menghentikan bekalan air untuk pertanian sekiranya paras air di Empangan Pedu menurun ke paras 27 peratus.

Pengurusnya, Datuk Fouzi Ali, berkata hari ini paras air Empangan Pedu berada pada tahap 41.83 peratus, manakala Empangan Ahning pada tahap 59.55 peratus dan Empangan Muda hanya tinggal 9.56 peratus sahaja.

Katanya, ketika ini MADA masih boleh melakukan pelepasan air harian sebanyak 99 meter padu sesaat bagi menampung keperluan penanaman padi dan keperluan bekalan domestik.

“Peratusan air di tiga empangan utama ini terus menurun setiap hari, namun keadaan masih terkawal.

“Pada 6 Januari lalu, jumlah peratusan air di Empangan Muda adalah 26.72 peratus, Empangan Ahning (64.47 peratus) dan Empangan Pedu (50.18 peratus),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan itu, Fouzi meminta semua pesawah dapat mengoptimumkan penggunaan air dan tidak melakukan pembaziran air di sawah.

“Kawasan sawah yang tinggi perlu dipam dan pihak MADA akan berusaha memastikan paras air di sungai serta tali air berada pada paras sesuai untuk pengairan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Air Darul Aman (SADA), Ahmad Hakimi Abu Bakar, berkata pihaknya kini dalam keadaan berjaga-jaga, walaupun bekalan air masih boleh disalurkan untuk pengguna domestik.

Katanya, beberapa kawasan terutama di penghujung saluran sudah mula terjejas seperti di Kuala Kedah, Tunjang dan Merbok

“Loji kita masih menyalurkan air kepada penduduk, cuma loji di Merbok dijangka terjejas berikutan pengurangan sumber air mentah di kawasan tadahan Gunung Jerai akibat musim kemarau.

“Selain itu, jumlah penggunaan air yang semakin meningkat pada musim panas juga menjadi antara faktor kawasan penghujung bekalan tidak menerima air,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, sudah terdapat beberapa kawasan perumahan di Alor Setar mengalami gangguan terutama selepas waktu bekerja dan orang ramai diminta menggunakan air secara berhemah bagi mengelak catuan bekalan.

Berita Harian X