Rabu, 22 Januari 2020 | 11:20pm
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Mohd Taufik Maidin. - NSTP/Fathil Asri

Letupan kuat di Gua Musang adalah daripada latihan jet pejuang - Polis

GUA MUSANG: Polis Gua Musang meminta penduduk tidak panik apabila mendengar letupan kuat sekitar sini hari ini kerana ia adalah sebahagian daripada siri latihan jet pejuang di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan, Mohd Taufik Maidin, berkata pihaknya sudah dimaklumkan lebih awal berhubung latihan yang membabitkan jet pejuang dari pangkalan udara Gong Kedak, Terengganu.

“Dalam latihan itu, ia termasuk tindakan melepaskan sesuatu letupan di udara, dan tidak membahayakan orang ramai kerana ia sekadar latihan dan sasaran letupan di luar kawasan penempatan penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kira-kira jam 5 petang tadi, penduduk gempar mendengar bunyi letupan kuat dan disusuli gegaran kecil yang keadaan itu tular di media sosial dengan pelbagai andaian dibuat netizen.

Mengulas perkara itu lagi Mohd Taufik berkata gegaran itu juga hanya membabitkan kawasan tertentu sahaja.

Seorang penduduk di bandar ini, Muhamad Shafie Osman, 52, berkata, beliau terkejut mendengar bunyi letupan kuat itu, malah rumahnya turut bergegar sebelum dia bergegas keluar rumah untuk menyiasat. – BERNAMA

Berita Harian X