Isnin, 20 Januari 2020 | 3:57pm
Murid dari SK Panggong, Pasir Puteh makanan percuma melalui Penambahbaikan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), tahun ini. - Ihsan JPN Kelantan
Murid dari SK Panggong, Pasir Puteh makanan percuma melalui Penambahbaikan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), tahun ini. - Ihsan JPN Kelantan

Bacaan doa syukuri program penambahbaikan RMT

PASIR PUTEH: Penggunaan audio lagu selawat, bacaan suci al-Quran, doa dan penerangan khasiat makanan antara aktiviti nilai tambah dilaksanakan Sekolah Kebangsaan (SK) Panggong, di sini, sebagai tanda kesyukuran mendapat makanan percuma melalui Penambahbaikan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), tahun ini.

Guru Besarnya, Tengku Adzhan Arif T Yusoff berkata, inisiatif itu diambil pihak sekolah dan pemegang tender kantin bagi menarik perhatian murid yang mendapat sarapan percuma mensyukuri bantuan yang diterima.

Katanya, tambahan kouta itu menjadikan 353 jumlah murid sekolah itu termasuk 313 murid yang sudah mendapat keistimewaan sarapan pagi percuma sejak awal tahun lalu.

"Program RMT ini sebenarnya menjimatkan masa ibu bapa menyediakan bekal anak-anak, sebab kebanyakan ibubapa di sini bekerja sendiri dan petani, jadi mereka kejar masa. Bila adanya RMT, kita dah boleh jamin mereka sudah makan pagi sebelum mula belajar," katanya ketika ditemui dalam majlis Pelancaran PPRTM di sekolah itu, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah Ketua Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mashadi Mustapha.

Adzhan berkata, bagi menu pula, pihak kantin akan menyediakan mengikut Buku Pengurusan RMT yang disediakan pihak JPN dengan menu mestilah yang berkhasiat dan memenuhi piramid makanan yang betul.

"Sebagai contoh hari ini kita sediakan kepada murid, hidangan bihun goreng, ayam goreng, buah limau sunkist dan air milo. Setiap menu harus mempunyai makanan, lauk, buah-buahan dan air dengan bajet harian sebanyak RM2.50 setiap orang mengikut yang diperuntukkan dan dihidang pada waktu pagi jam 7 hingga 7.30 pagi sebelum kelas bermula," katanya.

Mahadi pula berkata, terdapat enam SK membabitkan 2,062 murid di seluruh Kelantan mendapat manfaat pelaksanaan program penambahbaikan RMT bermula hari ini. Ia membabitkan SK Lepan Jaya (Gua Musang); SK Panggong (Pasir Puteh); SK Chenderong Batu (Tumpat); SK Telekong (Kuala Krai); SK Dewan Besar (Machang) dan dua sekolah di daerah Pasir Mas iaitu SK Kubang Kuau dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Pow Hwa.

Sementara itu, di Wilayah Persekutuan, 11 sekolah terpilih untuk program berkenaan ialah SK Sri Delima; SK Seri Bonus; SK Batu Muda; SK Kepong Baru; SK Intan Baiduri; Sekolah Kebangsaan Perempuan (SKP) Pudu 1, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)Saraswathy; SJKT Ladang Bukit Jalil; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Salak South; SJKC Sam Yoke dan SK Seri Suria.

Guru Besar SK Sri Delima, Mohd Nor Majid, berkata seramai 48 murid SK Sri Delima di sini, menikmati sajian sarapan pagi percuma.

Beliau berkata, kriteria pemberian sarapan percuma itu kepada isi rumah pendapatan per kapita dari RM151 kepada RM244, sekali gus membolehkan lebih ramai murid menikmati sajian percuma.

“Ia bermula antara jam 7 hingga 7.30 pagi, dengan semua murid makan dan membaca doa bersama-sama sebelum ke perhimpunan pagi dan memulakan pembelajaran pada jam 7.40 pagi. Menunya mengikut jadual RMT sedia ada iaitu sama ada nasi atau masakan berkhasiat lain seperti dijadualkan, cuma masanya ditukar pada awal pagi berbanding ketika waktu rehat sebelum ini.

“Pada masa sama, ia dilihat berupaya menerap nilai murni dalam kalangan murid, apabila mereka datang awal, makan dan berdoa bersama-sama dan mempraktikkan budaya mencuci tangan,” katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X