Ahad, 19 Januari 2020 | 2:50pm

4,000 pasang pakaian sekolah diserah kepada pelajar asnaf

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini, menyempurnakan perasmian Program Prihatin Kembali Ke Sekolah (Program MySeragam) anjuran Yayasan MyPrihatin di sini, membabitkan penyerahan 4,000 pasang pakaian sekolah kepada anak golongan kurang berkemampuan.

Sebagai simbolik penyerahan, Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan sumbangan dua pasang pakaian sekolah kepada setiap 10 pelajar sekolah rendah asnaf, golongan kelainan upaya dan anak yatim pada majlis itu.

Baginda turut menandatangani Plak Perasmian Program Prihatin Kembali Ke Sekolah di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Masdiana Muhamad dan Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan.

Halimaton dalam ucapannya berkata, sebanyak 4,000 pasang pakaian sekolah disampaikan kepada 2,000 pelajar sekolah rendah asnaf, golongan kelainan upaya dan anak yatim di negeri ini.

“Yayasan MyPrihatin menganjurkan program ini bagi menyerahkan bantuan kelengkapan persekolahan Program Sumbangan Pakaian Sekolah Rendah Asnaf (Program MySeragam) kepada anak yang memerlukan.

“Program MySeragam adalah inisiatif bagi mengumpul dana untuk menghasilkan pakaian sekolah berkualiti untuk diagihkan kepada pelajar yang layak supaya mereka juga dapat memiliki pakaian sekolah baharu yang berkualiti dan bersesuaian.

“Seramai 2,000 pelajar sekolah rendah dari lima sekolah rendah di Selangor menerima sumbangan dua pasang pakaian seragam sekolah seorang,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Program MySeragam ini, Yayasan MyPrihatin membuat tempahan pakaian sekolah itu melalui peserta Program Jana Ekonomi Prihatin (Projek Prihatin).

“Program ini usaha sama Yayasan MyPrihatin dengan pengendali takaful Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), bagi membantu golongan ibu tunggal dan suri rumah kurang berkemampuan serta berpendapatan rendah menjana pendapatan tambahan keluarga melalui kursus kemahiran teknikal jahitan disediakan, ” katanya.

Katanya, sebahagian dana dikumpul melalui Program MySeragam akan disalurkan kepada tabung bagi membantu pesakit jantung kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk melakukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Program seumpama ini mencerminkan komitmen, kerjasama dan keprihatinan badan amal serta syarikat korporat dalam membantu membangunkan sosioekonomi masyarakat dan negara,” katanya.

Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) menyampaikan sumbangan dua pasang pakaian sekolah kepada setiap 10 pelajar sekolah rendah asnaf, golongan kelainan upaya dan anak yatim pada Program Prihatin Kembali Ke Sekolah (Program MySeragam), di Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) menyampaikan sumbangan dua pasang pakaian sekolah kepada setiap 10 pelajar sekolah rendah asnaf, golongan kelainan upaya dan anak yatim pada Program Prihatin Kembali Ke Sekolah (Program MySeragam), di Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X