Jumaat, 17 Januari 2020 | 5:49pm
Paras air di Empangan Muda semakin menurun dengan kapasiti hanya berada pada tahap 16.1 peratus. - Foto BERNAMA
Paras air di Empangan Muda semakin menurun dengan kapasiti hanya berada pada tahap 16.1 peratus. - Foto BERNAMA

Air empangan di Kedah semakin susut

ALOR SETAR: Kedudukan air di tiga empangan utama di negeri ini semakin menurun dengan kapasiti Empangan Muda berada pada tahap 16.1 peratus semalam.

Bagaimanapun, Pengurus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali, berkata kapasiti air Empangan Ahning sebanyak 62 peratus dan Empangan Pedu sebanyak 46.7 peratus masih mampu dilepaskan untuk kegunaan pertanian dan domestik.

“Minggu lalu (6 Januari), jumlah peratusan air di Empangan Muda adalah 26.72 peratus, Empangan Ahning (64.47 peratus) dan Empangan Pedu (50.18 peratus)

“Terdapat penurunan peratusan jumlah air terkawal dan MADA masih boleh melakukan pelepasan harian sebanyak 113 meter padu sesaat bagi menampung keperluan penanaman padi dan domestik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Fouzi berkata, apabila paras takungan air Empangan Pedu turun melepasi paras 27 peratus, keutamaan pelepasan air akan diberikan kepada kegunaan domestik saja.

“Justeru, kami memohon semua pesawah dapat mengoptimumkan penggunaan air dan tidak melakukan pembaziran air di sawah.

“Kawasan sawah yang tinggi perlu dipam dan pihak MADA akan berusaha memastikan paras air di sungai serta tali air berada pada paras yang sesuai untuk pengairan,” katanya.

Berita Harian X