Rabu, 15 Januari 2020 | 8:51pm
EMPANGAN Muda.
EMPANGAN Muda.

Paras air tiga empangan Kedah menurun

ALOR SETAR: Paras air di tiga empangan utama di negeri ini, semakin menurun dengan kapasiti Empangan Muda hanya berada pada kadar 17.88 peratus hari ini.

Pengurus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali, berkata bagaimanapun kapasiti air Empangan Ahning sebanyak 62.48 peratus dan Empangan Pedu sebanyak 47.6 peratus masih mampu dilepaskan untuk kegunaan pertanian dan domestik.

“Minggu lalu (pada 6 Januari), jumlah peratusan air di Empangan Muda adalah 26.72 peratus, Empangan Ahning (64.47 peratus) dan Empangan Pedu (50.18 peratus)

“Terdapat penurunan peratusan jumlah air terkawal dan MADA masih boleh melakukan pelepasan harian sebanyak 113 meter padu sesaat bagi menampung keperluan penanaman padi dan domestik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri sudah bersiap sedia melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan awan dan cuaca kondusif untuk proses berkenaan.

“Persediaan untuk pembenihan awan sudah dilakukan sejak November lalu, namun keadaan tidak mengizinkan kerana kita perlu menunggu sehingga awan mencukupi.

“Kita juga dimaklumkan ada kawasan mengadu bekalan air kurang, jadi kita minta kawasan yang ada air, berjimatlah dan jangan guna terlalu banyak air dalam keadaan musim kemarau,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya juga sudah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk mengarahkan semua masjid mengadakan solat Sunat Istisqa Jumaat ini, bagi memohon hujan .

“Kita doakan supaya kita dapat menerima hujan yang akan membantu meningkatkan bekalan air ke seluruh negeri,” katanya.

Berita Harian X