Ahad, 5 Januari 2020 | 12:20pm
Gambar fail, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar. - Foto Hairul Anuar Rahim
Gambar fail, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar. - Foto Hairul Anuar Rahim

169 notis kompaun dikeluarkan kepada perokok di Johor

JOHOR BAHRU: Sejumlah 169 notis kompaun dikeluarkan kepada perokok di negeri ini sehingga jam 12 tengah malam tadi, termasuk membabitkan 17 perokok bawah umur.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata kesemua notis itu dikeluarkan berikutan perokok didapati melanggar peraturan merokok dalam premis makanan yang diwartakan sejak Rabu lalu.

“Keseluruhannya, 169 notis kesalahan dikeluarkan kepada golongan perokok sehingga tengah malam tadi membabitkan nilai kompaun RM42,250. Sejak 1 Januari lalu, sebanyak 3,146 premis makanan diperiksa di seluruh negeri membabitkan 129 penguatkuasa kesihatan dan lima penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Lebih mendukacitakan apabila 17 notis itu dikeluarkan kepada perokok bawah umur. Seramai 11 perokok juga didapati bersalah dan dikompaun kerana menggunakan rokok elektronik atau vape dalam premis makanan, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bermula 1 Januari lalu, individu merokok di kawasan larangan, termasuk semua tempat makan akan dikenakan kompaun RM250 dan kadar itu boleh dikurangkan kepada RM150 bagi kesalahan pertama dan dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun diterima.

Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun RM250 akan dikenakan, manakala kompaun lebih tinggi, iaitu RM350 bagi mereka melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, pihaknya memohon kerjasama semua pihak supaya mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

“Bagi yang berhasrat berhenti merokok, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang diberikan akreditasi.

“Mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Berita Harian X