Jumaat, 3 Januari 2020 | 6:19pm
Datuk Seri Fatimah Abdullah mengadakan tinjauan ke Pusat TASKA SeDidik Perdana JKM dan SeDidik Perdana UTC di bangunan UTC Kuching. - Foto ihsan Pejabat Menteri

TASKA, TADIKA diminta sedia khidmat penjagaan selepas waktu persekolahan

KUCHING: Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar di negeri ini diminta menyediakan khidmat penjagaan selepas waktu persekolahan, jika ada permintaan daripada ibu bapa.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata khidmat penjagaan itu dapat memudahkan ibu bapa yang bekerja dan tiada pengasuh.

Beliau berkata, pihaknya menerima permintaan daripada ibu bapa yang bekerja berhubung perkara itu, justeru pengendali TADIKA dan TASKA digalak untuk melaksanakannya.

“Ibu bapa yang bekerja memerlukan penjaga untuk anak mereka selepas waktu persekolahan dan sebahagian besar menghadapi kekangan kerana ketiadaan pengasuh.

“Sehubungan itu, kita meminta agar TASKA dan TADIKA yang berdaftar supaya mempertimbangkan permintaan untuk menyediakan khidmat penjagaan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan ke Pusat TASKA SeDidik Perdana JKM dan SeDidik Perdana UTC di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, selain khidmat penjagaan selepas waktu persekolahan, penubuhan TASKA di tempat kerja juga amat penting sebagai sistem sokongan kepada ibu bapa bekerja.

“Ibu bapa yang bekerja tidak perlu bimbang dengan keadaan anak mereka kerana dijaga oleh pengajar atau pengasuh yang terlatih dan berkualiti.

“Kerajaan negeri menyokong penuh penubuhan TASKA di tempat kerja. Pada tahun lalu saja, sejumlah RM420,000 diperuntukkan bagi tujuan itu, manakala dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM1 juta diperuntukkan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, ada 10 TASKA berdaftar di tempat kerja, 14 lagi dalam proses pendaftaran dan empat akan dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Berita Harian X