Ahad, 29 Disember 2019 | 3:42pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - NSTP/Adzlan Sidek
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - NSTP/Adzlan Sidek

Anak Sungai Belihoi bebas pencemaran

SEREMBAN: Anak Sungai Belihoi di Mantin, dekat sini, yang tercemar akibat pembuangan bahan dipercayai mengandungi sisa kimia, kini bebas daripada sebarang pencemaran.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan masih menjalankan pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat.

“Kerja pembersihan anak sungai ini siap sepenuhnya pada Jumaat lalu selepas dua hari dibersihkan bermula Rabu. Siasatan mengenai pencemaran masih dijalankan oleh JAS,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Veerapan berkata, laporan hasil contoh air sungai dan sisa kimia daripada Jabatan Kimia dijangka diperoleh kira-kira dua minggu lagi.

Katanya, siasatan mengenai pencemaran itu dijalankan mengikut mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Rabu lalu, BH melaporkan terdapat kesan tompokan minyak dipercayai bahan kimia dan bangkai ikan ditemui di Anak Sungai Belihoi, Mantin.

Bagaimanapun, pencemaran itu disifatkan sebagai tidak serius kerana ia hanya menjejaskan sebahagian kawasan anak sungai terbabit.

Berita Harian X