Isnin, 23 Disember 2019 | 1:12pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Denggi meragut 10 nyawa di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Jumlah kes demam denggi di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan kepada 2,205 kes sejak 1 Januari sehingga 14 Disember lalu dengan 10 kematian, berbanding empat kematian daripada 1,740 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata ini menjadikan jumlah terkumpul kes denggi di negeri ini meningkat sebanyak 26.7 peratus.

“Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini sebanyak 1,763 kes di daerah Seremban, Port Dickson (103), Tampin (101), Jempol (79), Rembau (60), Jelebu (50) dan Kuala Pilah (49),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lapan lokaliti wabak dikesan masih aktif dengan tujuh daripadanya di daerah Seremban, manakala satu di Kuala Pilah, setakat 14 Disember lalu.

“Ini membabitkan kawasan di Seremban iaitu Taman College Height, Taman Desa, Taman Desa Ria, Taman Tuanku Jaafar Fasa 3, Taman Angsamas, Taman Desa Rhu, Kampung Baru Rasah, manakala di Kuala Pilah hanya melibatkan Taman Bahagia Delima,” katanya.

Beliau berkata, ekoran peningkatan bilangan terkumpul kes denggi, pencegahan dan kawalan dipergiat dan diperhebat, termasuk menjalankan aktiviti mencari dan musnah tempat pembiakan aedes.

“Selain itu, aktiviti memusnahkan larva, semburan asap, Ops Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong-royong membabitkan pihak masyarakat turut diadakan,” katanya.

Bagi mengurangkan penularan serta mengelak peningkatan demam denggi, beliau berkata, orang ramai digesa agar menjaga kebersihan di sekitar kawasan perumahan masing-masing.

Selain itu, beliau menasihatkan individu yang ingin melakukan aktiviti luar semasa waktu puncak gigitan aedes dari 5 pagi hingga 8 pagi, dan 5 petang hingga 8 malam, supaya memakai pakaian cerah dan berlengan panjang serta menggunakan bahan pencegah nyamuk. – BERNAMA

Berita Harian X