Rabu, 11 Disember 2019 | 4:03pm
KETUA Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman (empat dari kiri) bergambar bersama penerima zakat pada Program Ikhtiar Tabung Haji (TH) di Menara Zakat di Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid
KETUA Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman (empat dari kiri) bergambar bersama penerima zakat pada Program Ikhtiar Tabung Haji (TH) di Menara Zakat di Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid

Jumlah kutipan zakat Kedah terus meningkat

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM225 juta pada 31 Disember ini susulan semakin ramai individu dan syarikat memberi kepercayaan terhadap tranformasi pengurusan lembaga itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman, berkata peningkatan itu dapat dilihat sejak dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini apabila jumlah kutipan tahun lalu turut meningkat kepada RM184 juta berbanding RM140 juta pada 2017.

Katanya, kutipan semasa sehingga hari ini ialah sebanyak RM178 juta dengan jumlah agihan sebanyak RM176 juta.

“Kutipan ini berjaya lakukan hasil usaha kita mengurus persepsi dalam kalangan masyarakat yakni mereka yakin dengan transformasi pengurusan LZNK sama ada dari segi pengagihan dan kutipan yang dilakukan secara telus menerusi aplikasi Zakat On Touch (ZOT).

“Semua orang dapat melihat secara jelas melalui telefon pintar, kita kemas kini semua jumlah terkini kutipan dan berapa agihan zakat termasuk di 578 masjid seluruh Kedah yang menjadi pusat bekalan makanan fakir miskin menerusi program Food Bank,” katanya ketika ditemui selepas selepas Program Ikhtiar Tabung Haji (TH) di Menara Zakat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata pihaknya turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta untuk membiayai program Food Bank LZNK.

Katanya sehingga kini Agro Bank menjadi syarikat pertama membiayai makanan asas di enam buah masjid di negeri ini.

“Sebanyak empat buah syarikat sedang berbincang dengan kita untuk membiayai makanan di masjid-masjid terpilih dan syarikat ini boleh menggunakan bungkusan nama masing-masing.

“Ini kerana setiap bulan kita memerlukan 18,000 set makanan untuk dibekalkan kepada fakir miskin, jadi kita sangat mengharapkan kerjasama daripada syarikat ini, jika mereka bersedia untuk membiayai maka kita akan guna kaedah wakalah iaitu agihan zakat balik kepada syarikat terbabit,” katanya.

Terdahulu, seramai 31 orang usahawan asnaf di negeri menerima sumbangan suntikan modal perniagaan sebanyak RM150,000 daripada TH.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah TH Kedah Nawawi Ishak.

Berita Harian X