Rabu, 11 Disember 2019 | 3:12pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Pengguang Manggil, dan Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong meninjau lokasi banjir di sekitar pekan Marudi. - Foto Erika George
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Pengguang Manggil, dan Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong meninjau lokasi banjir di sekitar pekan Marudi. - Foto Erika George

Pekan Marudi hampir lumpuh akibat banjir

MARUDI: Pekan Marudi hampir lumpuh selepas dinaiki air sehingga 0.3 meter yang menjejaskan aktiviti perniagaan serta rutin harian penduduk di sini, hari ini.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata keseluruhan kawasan di pekan itu mulai dinaiki air sejak semalam, yang mana paras air banjir menunjukkan tanda kenaikan setakat jam 8.30 pagi tadi, hingga menenggelamkan jalan raya.

“Peningkatan paras air banjir adalah susulan limpahan air dari Sungai Baram, selepas hujan lebat kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas,” katanya, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemantauan dijalankan mendapati keseluruhan kawasan di pekan itu mula dinaiki air sejak pagi tadi, sekali gus menyebabkan semua premis perniagaan ditutup.

“Sekiranya paras banjir semakin meningkat petang ini, satu-satunya stesen minyak PETRONAS yang terdapat di pekan ini berkemungkinan ditutup pada petang ini sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Difahamkan, peniaga sudah mula mengangkat dan memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi lebih awal bagi mengelakkan kerugian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Pengguang Manggil, dan Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong antara yang meninjau ke lokasi banjir di sekitar pekan Marudi.

Berita Harian X