Selasa, 10 Disember 2019 | 7:32pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan menunjukkan keadaan sungai Anak Air Garam yang tercemar. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan menunjukkan keadaan sungai Anak Air Garam yang tercemar. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Operasi bersih Sungai Anak Air Garam, elak pencemaran merebak

SEREMBAN: Dua tangki sisa minyak dan bahan kimia yang dibuang di Sungai Anak Air Garam dekat Mambau di sini dikumpulkan dalam operasi pembersihan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata bahan buangan yang dikumpulkan pada hari pertama yang bermula pagi tadi sehingga jam 5 petang, selepas menerima aduan semalam.

Katanya, operasi dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS), Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA) dan Kualiti Alam.

“Kerajaan negeri mengadakan mesyuarat tergempar pagi tadi dan mengarahkan agensi terbabit melakukan pembersihan bagi mengelak bahan buangan mengalir ke Sungai Mambau serta Sungai Linggi yang boleh memburukkan keadaan.

“Kita sudah membuat halangan bagi mengawal dan mengelak air mengalir masuk ke Sungai Linggi. Kita juga meminta pihak Kualiti Alam menyedut bahan buangan berkenaan.

“Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) turut melakukan pemberhentian segera operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi akibat pencemaran itu.

“Berlaku sedikit gangguan bekalan air, namun SAINS akan menghantar tangki air ke kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian di sini, semalam.

JASNS menerima aduan daripada penduduk pada jam 9.55 pagi semalam dan pemeriksaan mendapati pencemaran bermula dari sisa yang dibuang di longkang awam di Taman Desa Rasah, seterusnya memasuki Sungai Anak Air Garam menyebabkan ia bertukar hitam dan berbau.

Senario di lokasi memperlihatkan beberapa ikan mati, selain bau seakan minyak hitam.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahan buangan itu sengaja dibuang ke sungai berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, beliau mengarahkan JASNS menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bahan buangan berkenaan seterusnya mengesan pelaku.

“Saya memandang serius insiden ini kerana sungai ini bersambung dengan Sungai Linggi yang menjadi salah satu punca air di negeri ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Berita Harian X