Isnin, 9 Disember 2019 | 9:52am
Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hassan Hussain (dua dari kiri) menenangkan kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Anak Warga Penjara Penor di Dewan Sendayan. - Foto Mohd Rafi Mamat
Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hassan Hussain (dua dari kiri) menenangkan kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Anak Warga Penjara Penor di Dewan Sendayan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Latihan perladangan untuk banduan

KUANTAN: Penjara Penor berusaha menambah banduan mengikuti latihan dalam bidang perladangan kelapa sawit sebagai persiapan apabila dibebaskan.

Pengarahnya, Datuk Abu Hassan Hussain, berkata sebelum ini pihaknya hanya mampu menyediakan tempat kepada 12 banduan untuk mengikuti latihan berkenaan setiap tahun bermula 2013, ketika mula ladang kelapa sawit milik Penjara Penor seluas 3.6 hektar dibuka.

Katanya, sudah tiba masanya lebih ramai banduan mengikuti latihan bagi memberi mereka peluang mendapat pendedahan dan membina kerjaya baharu selepas dibebaskan.

“Kita bercadang melatih sekurang-kurangnya 30 banduan setahun yang mana mereka mengikuti latihan antara tiga hingga empat bulan membabitkan aktiviti seperti menanam, memotong buah, membaja, meracun dan mengumpul hasil.

“Penjara Penor menyediakan lebih 10 latihan kemahiran kepada banduan sebagai persediaan untuk mereka apabila bebas,” katanya pada Program Berkhatan Anak Warga Penjara Penor di Dewan Sendayan, di sini.

Seramai 13 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 11 tahun menyertai program berkenaan, selain mandi air semburan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), persembahan silat dan makan pulut diadakan sebagai penyeri program.

Abu Hassan berkata, kerjasama Penjara Penor dengan Yayasan Pahang dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang menyediakan peluang pekerjaan di ladang dimiliki mampu membina kehidupan baharu lebih bermakna selepas banduan dibebaskan.

Selain mendapat kemahiran diperlukan, beberapa kursus turut menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua yang dapat menjadi sokongan bagi mendapatkan pekerjaan sesuai selepas dibebaskan.

Katanya, antara kursus di Penjara Penor ialah Tenun Pahang Diraja, dobi, jahitan, bengkel besi, kebun sayur, ternakan ikan air tawar dan bengkel kraftangan kayu.

“Kursus terbaru disediakan ialah pembuatan sabun pencuci dan Penjara Penor yang pertama melatih banduan menghasilkan produk berkenaan yang kini hasilnya diedarkan ke semua penjara seluruh negara.

“Selain kemahiran, kita tidak mengabaikan didikan agama pada setiap banduan Islam dengan mengadakan program seperti kelas al-Quran, ceramah agama dan Tafaqquh Fiddin dengan kerjasama Yayasan Pahang,” katanya

Berita Harian X