Jumaat, 6 Disember 2019 | 4:31pm
AHLI Dewan Undangan Negeri Buntong, A Sivasubramaniam (dua kiri) menyerahkan kunci rumah rumah sewa baru kepada P Minache, 45, di Rumah Pangsa Taman Harmoni di Buntong. NSTP/Balqis Jazimah Zahari
AHLI Dewan Undangan Negeri Buntong, A Sivasubramaniam (dua kiri) menyerahkan kunci rumah rumah sewa baru kepada P Minache, 45, di Rumah Pangsa Taman Harmoni di Buntong. NSTP/Balqis Jazimah Zahari

Kesengsaraan hidup lima beranak dibela ADUN Buntong

IPOH: Kesengsaraan hidup sebuah keluarga miskin yang tinggal di rumah tanpa bekalan elektrik dan air akhirnya terbela selepas mendapat tempat tinggal baharu di Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong, di sini.

Nasib malang ibu tunggal kepada empat anak, P Minache, 45, yang hidup dalam keadaan daif itu mendapat perhatian orang ramai termasuk Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong.

Minache yang menghidap sakit tulang dan asma meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima kunci kediaman baharu itu selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengarahkan rumah pangsa di Sungai Pari yang didiami sejak 10 tahun lalu dikosongkan atas faktor keselamatan.

“Saya membuat permohonan bantuan rumah ini sejak enam bulan lalu bagi mendapat tempat tinggal yang lebih baik dan selamat.

“Terima kasih kerana ada yang sudi membantu. Minggu depan, saya akan memindahkan barang untuk masuk ke rumah sewa baharu ini,” katanya ketika ditemui pada lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam ke kediaman baharu itu di Rumah Pangsa Taman Harmoni di Buntong, hari ini.

Minache berkata, dia yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah berdekatan sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas mengidap penyakit yang dialaminya sekarang.

Setakat ini, katanya, dia bersama anak-anak hanya bergantung hidup dengan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Sementara itu, Sivasubramiam berkata, lawatan itu dilakukan bersama pegawai JKM dan Ahli Majlis MBI pada April lalu mendapati keluarga itu tinggal dalam suasana yang amat mendukacitakan tanpa sebarang kemudahan asas.

“Saya terharu dengan keadaan anak-anak keluarga ini, jadi saya membantu mereka menyewa rumah ini dan saya membayar wang deposit serta akan menanggung bayaran sewa selama setahun.

“Selain itu, saya akan menanggung persekolahan anak-anaknya serta membantu mereka sekeluarga mendapatkan kelengkapan peralatan rumah,” katanya.

Katanya, keluarga itu juga akan diberi bantuan Kotak Harapan daripada Pejabat ADUN Buntong, setiap bulan.

Berita Harian X