Selasa, 3 Disember 2019 | 4:35pm
Fatimah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee atau Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC) negeri di pejabatnya, Wisma Baitulmakmur, di Kuching.
Fatimah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee atau Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC) negeri di pejabatnya, Wisma Baitulmakmur, di Kuching.

Tidak dibenarkan kahwin bawah umur

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan perkahwinan bawah umur, malah jika membabitkan remaja perempuan di bawah 16 tahun, permohonan berkahwin tidak akan dibenarkan dan dianggap sebagai kes rogol.

Namun, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata ia bergantung kepada undang-undang perkahwinan sivil, syariah dan adat.

Beliau menjelaskan, bagi perkahwinan adat, had minimum perkahwinan tidak wujud mengikut sistem adat.

“Justeru, secara umumnya Ketua Kaum, Ketua Masyarakat di bawah Majlis Istiadat Negeri Sarawak (MAIS) sudah bersetuju bahawa umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

“MAIS sedang giat berusaha menyeragamkan had minimum perkahwinan yang membabitkan usaha mendapatkan persetujuan pelbagai etnik yang ada di Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee atau Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC) negeri di pejabatnya, Wisma Baitulmakmur.

Bagi undang-undang perkahwinan sivil, Fatimah berkata sudah ditetapkan bahawa had umur minimum berkahwin adalah 18 tahun.

“Namun, sekiranya wujud keadaan tertentu, misalnya remaja perempuan di bawah umur 18 tahun hamil sebelum berkahwin, perlulah mendapatkan kelulusan kerajaan negeri menerusi Residen Bahagian masing-masing sebelum dibenarkan berkahwin dengan pasangan,” katanya.

Di bawah undang-undang syariah pula, Fatimah berkata had umur minimum berkahwin untuk lelaki adalah 18 tahun dan 16 tahun bagi perempuan manakala jika membabitkan remaja di bawah umur, perlu mendapat kelulusan Mahkamah Syariah sebelum meneruskan perkahwinan.

Terdahulu, Fatimah berkata perkahwinan bawah umur secara Islam menunjukkan trend menurun daripada 127 orang pada 2017 kepada 107 orang tahun ini.

Sementara itu, perkahwinan bawah umur secara adat pula menunjukkan trend peningkatan daripada 384 orang (2017) kepada 452 orang tahun ini.

Perkahwinan bawah umur secara sivil bagi perempuan bawah 18 tahun tetapi berusia genap 16 tahun menunjukkan trend penurunan daripada 180 orang (2014) kepada 56 orang tahun ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata Kerajaan Sarawak menyokong penuh cadangan pindaan undang-undang had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun oleh Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah perkahwinan remaja bawah umur.

Bagaimanapun, tegas beliau, sistem perundangan berkaitan perkahwinan di Sarawak iaitu undang-undang perkahwinan sivil, syariah dan adat, mempunyai banyak perbezaan dengan Semenanjung.

Berita Harian X