Sabtu, 30 November 2019 | 6:51pm
Pesakit dan kakitangan Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak menyertai aktiviti permainan yang dianjurkan.
Pesakit dan kakitangan Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak menyertai aktiviti permainan yang dianjurkan.

Pesakit, kakitangan Pusat Rehabilitasi PERKESO berkumpul rai Deepavali

MELAKA: Sambutan Hari Deepavali sudah kira-kira sebulan berlalu, namun kemeriahannya masih terasa termasuk di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Tun Abdul Razak, di sini.

Sempena perayaan berkenaan, kumpulan pesakit bersama doktor serta kakitangan pusat itu yang semua bergaya dengan pakaian tradisional, berkumpul pada satu majlis penuh meriah yang diisi pelbagai aktiviti, baru-baru ini.

Sambil menjamu bermacam-macam juadah lazat yang disediakan, mereka turut bersama-sama mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti permainan termasuk pertandingan menghias 'kolam', iaitu hiasan lantai yang menyerupai pelbagai bentuk flora dan fauna, antaranya burung merak.

Antara kemuncak sambutan adalah pertunjukan fesyen oleh pesakit-pesakit dari pelbagai bangsa dan agama yang sedang menjalani pemulihan di pusat terbabit akibat pelbagai kekurangan daya fizikal atau hilang upaya.

Ketika ditemui, mereka menegaskan, tidak mahu menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk meneruskan hidup seperti insan normal.

"Kami tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang. Dengan bantuan doktor-doktor hebat serta kakitangan di sini, kami berjaya menghadapi segala cabaran sehingga mampu menjayakan persembahan ini," kata seorang daripada mereka.

Pesakit, doktor dan kakitangan Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak, Melaka menyertai pertandingan menghias 'kolam'.
Pesakit, doktor dan kakitangan Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak, Melaka menyertai pertandingan menghias 'kolam'.

Antara pesakit Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak, Melaka yang mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen.
Antara pesakit Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak, Melaka yang mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen.

Seorang lagi pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, mengakui dia begitu teruja dapat mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen dan menghabiskan agak banyak masa dalam membuat persiapan.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua pihak di pusat ini kerana memberi sokongan kuat serta galakan berterusan.

"Apabila saya terbabit kemalangan dulu, saya rasa dunia seperti sudah berakhir, namun di pusat rehabilitasi ini, saya jumpa 'dunia' baharu," katanya.

Pusat Rehabilitasi PERKESO menyediakan program pemulihan holistik secara integrasi yang efektif kepada pencarumnya yang mengalami kekurangan daya fizikal atau kehilangan upaya.

Ia peneraju utama program pemulihan perubatan yang membabitkan fisioterapi, terapi cara kerja, terapi hidro, terapi pertuturan dan latihan pemulihan secara vokasional dengan tujuan mengembalikan semula pesakit ke alam pekerjaan.

Pusat berkenaan yang dimiliki dan diuruskan oleh PERKESO, terbuka kepada semua pencarum pertubuhan itu yang layak tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Berita Harian X