Rabu, 20 November 2019 | 4:54pm
PENGARAH Projek Seratu Aatai, Dr. Nurzhafarina Othman. NSTP/Ihsan NURZHAFARINA OTHMAN.
PENGARAH Projek Seratu Aatai, Dr. Nurzhafarina Othman. NSTP/Ihsan NURZHAFARINA OTHMAN.

Kematian Girang satu amaran kepada sektor perladangan kelapa sawit

KINABATANGAN: Semua pihak khususnya pemilik ladang di Kinabatangan perlu menjadikan tragedi menimpa Girang, gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati di kawasan ladang di Sukau Sabtu lalu sebagai satu amaran atau ‘wake up call’.

Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman, berkata ia harus dijadikan iktibar untuk meningkatkan kerjasama mengenal pasti punca kematian gajah terutama jika berada dalam kawasan ladang.

Beliau menjangkakan, mungkin ada yang berasa lega kejadian itu tidak berlaku di ladang mereka tetapi mungkin juga ada yang rasa terkilan kerana sekali lagi industri kelapa sawit disalahkan kerana menyebabkan kematian gajah.

“Kita perlu hentikan gaya pemikiran ‘saya jaga kawasan saya, kamu jaga kawasan kamu’ kerana kita semua ada peranan untuk memastikan industri kelapa sawit Malaysia benar-benar mapan.

“Pemikiran bahawa tindakan mengawal atau menghalang gajah masuk kawasan ladang pemilik tertentu bermakna gajah terselamat harus dikikis,” katanya dalam nota yang dikongsi bersama ahli Kumpulan Ladang HEC di Kinabatangan, di sini.

Kumpulan itu dianggotai beberapa ladang di Kinabatangan terutama berdekatan Sukau.

Dr Nurzhafarina berkata di Kinabatangan, mahu atau tidak, gajah pasti akan masuk ke ladang sama ada ladang ahli (Kumpulan Ladang HEC) atau ladang milik rakan industri yang lain.

“Habitat asal gajah yang semakin merosot kerana masih ada pembukaan tanah perladangan dan pembangunan, ditambah program penanaman semula yang dilaksanakan oleh ladang, sudah pasti gajah akan masuk dalam ladang,” katanya.

Projek Seratu Aatai, yang bermaksud ‘bersatu hati’ dalam bahasa Sungai, menumpukan usaha memahami ekologi gajah Borneo di luar kawasan perlindungan dan membangunkan keupayaan tempatan untuk menangani konflik antara gajah dan manusia di Sabah.

Tegas Dr Nurzhafarina, jika mahu melihat kelangsungan populasi gajah dan mengurangkan konflik di kawasan Kinabatangan, pihak ladang perlu merangka strategi sebagai satu kumpulan.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan kaedah tradisional jangka pendek kerana kita tahu kaedah ini tidak berkesan, sebaliknya perlu mencari rumusan jangka panjang dan merancang strategi sebagai satu kumpulan.

“Semua ahli kumpulan ini mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai selok-belok industri serta sedar mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti.

“Jika kita ketepikan perbezaan, saya yakin kita boleh menjadi model kepada usaha pemuliharaan dalam ladang di Sabah,” katanya.

Tambah beliau, kawasan Melangking, Sukau di mana mana Girang ditemui mati, adalah antara beberapa ladang di Sukau yang membenarkan gajah tinggal di ladang mereka tanpa diusir atau diganggu.

Kini, Dr Nurzhafarina menggesa pemain industri meningkatkan persefahaman sesama mereka supaya usaha mengharmonikan alam sekitar di samping menjana ekonomi negara dapat menjadi contoh kepada industri lain.

Berita Harian X