Ahad, 17 November 2019 | 10:21pm
Warga emas meninggal dunia selepas mengadu sukar bernafas ketika menemani isteri di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias

Suami meninggal ketika teman isteri di JPN

BACHOK: Seorang warga emas meninggal dunia ketika menemani isterinya membuat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bachok di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, lelaki berusia 70-an itu dipercayai sesak nafas, sebelum rebah di pangkuan isterinya, di kerusi lobi pejabat berkenaan.

Sumber JPN berkata, lelaki itu dipercayai datang ke pejabat untuk membuat kad pengenalan isterinya yang hilang dalam kejadian ragut.

Katanya, selepas isterinya siap membuat kad pengenalan, mangsa yang menunggu di lobi kelihatan tercunggap-cunggap dan pucat, sebelum isterinya memanggil kakitangan JPN untuk membantu.

“Ketika itu mangsa sudah tidak sedarkan diri dengan nafas turun naik dan beberapa kakitangan JPN sempat mengajarnya mengucap.

“Pihak JPN menghubungi ambulans, namun sebaik saja ambulans tiba, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isteri mangsa memaklumkan mereka datang berdua ke JPN dari Kampung Beris Kubur Besar.

“Isterinya ada maklumkan suaminya mengadu sakit kepala, sebelum mereka datang ke JPN itu.

“Ketika pegawai perubatan tiba di JPN, pegawai itu turut memaklumkan mengenali mangsa dan mangsa baru tiga hari ke klinik kerana disyaki mempunyai masalah jantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, pihaknya menunggu hasil bedah siasat ke atas mangsa bagi mengetahui punca kematian.

Berita Harian X