Ahad, 17 November 2019 | 4:10pm
Kenderaan yang terbabit kemalangan di simpang Siew Fin, Kapit menyebabkan seorang maut. - Ihsan Bomba
Kenderaan yang terbabit kemalangan di simpang Siew Fin, Kapit menyebabkan seorang maut. - Ihsan Bomba

2 maut dalam kemalangan berasingan di Sarawak

KAPIT: Seorang maut, manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap dan sebuah lori tiga tan di simpang Siew Gin, di sini petang semalam.

Mangsa, Collin Minggu, 38, yang berasal dari Rumah Panjang Lapek, Sungai Yong, di sini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata dalam kejadian jam 5.30 petang itu, lori berkenaan datang dari arah Bleteh menuju ke Pekan Kapit, manakala pikap dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pikap berkenaan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan pemandu lori cuba mengelak, namun gagal kerana jarak terlalu dekat. Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Kapit disahkan meninggal dunia pada jam 7.39 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Jalan Kuching - Serian pada jam 8.30 malam tadi, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.

Mangsa, Augustine Adailton Deai, 27, dari Kampung Peraya, Jalan Padawan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Alexson berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bertembung sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari arah Serian menghala ke Bandaraya Kuching.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong bertentangan dan diseret pula sebuah lori, menyebabkannya mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian badan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X