PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, mengakui sedikit berdebar untuk membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kerang, Kukup di sini pagi tadi.
Karmaine tiba seawal jam 7.45 pagi tadi sebelum memasuki SK Teluk Kerang dan menunggu di ruang menunggu Saluran Dua sebelum menjadi pengundi pertama mengundi di pusat berkenaan.
Calon yang berusia 66 tahun itu selesai membuang undi jam 8.04 pagi.
Ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi, Karmaine bersyukur dapat melaksanakan tanggungjawab mengundi awal bagi melawat dan bertemu pengundi hari ini.
“Syukur pagi ini selesai saya mengundi, sedikit berdebar perasaan hari ini,” katanya ringkas ketika ditemui.
Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran dibuka untuk proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula 8 pagi hingga 5.30 petang ini.