Sabtu, 9 November 2019 | 12:00pm

Jadikan al-Quran, sunah panduan utama - Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, menitahkan supaya al-Quran dan sunah Rasulullah SAW dijadikan panduan utama bagi membentuk nilai murni dan akhlak dalam kalangan umat Islam.

Baginda bertitah, kejayaan sesuatu tamadun tidak hanya terletak pada kekuatan ketenteraan dan ekonomi yang kukuh semata-mata, tetapi juga pada keperibadian mulia masyarakatnya.

Dalam titahnya, baginda melahirkan rasa dukacita atas perbuatan jenayah membabitkan rasuah, penipuan dan salah guna kuasa dalam kalangan orang Melayu beragama Islam.

Titah baginda, statistik jenayah di Negeri Sembilan menunjukkan 90 peratus tangkapan atas kesalahan penyalahgunaan dadah, rogol dan sumbang mahram membabitkan kalangan rakyat beragama Islam.

“Remaja Islam pula dikaitkan dengan gejala sosial seperti mat rempit dan terbaru, basikal lajak. Inilah akibat daripada lunturnya adab kesopanan dan tatasusila apabila jiwa insan tidak disuntik dengan pendidikan akhlak.

YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), hari ini. - Foto Adzlan Sidek
YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), hari ini. - Foto Adzlan Sidek

“Mereka yang tidak mempelajari ilmu berkaitan keimanan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW serta akhlak Baginda akan memberi kesan negatif kepada diri.

“Ketakwaan kepada Allah SWT dan kecintaan kepada Rasulullah SAW akan menghasilkan umat yang mempunyai akhlak terpuji,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, hari ini.

Turut mencemar duli, dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Yang turut hadir, Undang Yang Empat dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, kira-kira 3,000 peserta kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar daripada institusi pengajian tinggi dan sekolah turut menyertai perarakan itu yang bermula jam 9 pagi.

Perarakan membabitkan 93 kontinjen yang diketuai Tuanku Muhriz bermula di Padang MPS sehingga Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, sejauh 600 meter.

YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menghadiri perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Padang MPS Seremban. - Foto Adzlan Sidek
YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menghadiri perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Padang MPS Seremban. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X