Jumaat, 8 November 2019 | 9:59pm
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ngeh Koo Ham pada sidang media di Bilik Sidang Media Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan. - NSTP/Muhaizan Yahya

Hanya 27 ADUN Perak isytihar harta kepada Speaker

IPOH: Hanya 27 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengisytiharkan hartanya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ngeh Koo Ham, setakat hari ini.

Sehubungan itu, Koo Ham meminta ADUN yang belum berbuat demikian segera melakukannya sebelum beliau menghantar pengisytiharan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) minggu depan, iaitu sebelum Sidang DUN Perak yang bermula pada 15 November ini.

Beliau menyerahkan kepada DUN Perak untuk membuat keputusan tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang belum mengisytiharkan harta kerana usul mengenainya sudah diluluskan dalam Sidang DUN pada 23 Julai lalu.

Bagaimanapun, Koo Ham enggan mendedahkan nama ADUN yang sudah atau belum mengisytiharkan harta kerana mahu memberi peluang kepada mereka berbuat demikian dalam tempoh beberapa hari ini.

“Jika masih tidak berbuat demikian, saya akan serahkan senarai yang ada kepada SPRM dan kemudian agensi itu akan pamerkan kepada awam melalui portal mereka.

“Daripada situ, orang ramai akan tahu siapa yang belum mengisytiharkan harta kepada Speaker DUN Perak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Koo Ham berkata, semua ADUN perlu menghormati usul yang sudah diluluskan dalam DUN kerana ia adalah gelanggang kepada suara rakyat, selain perlu menunjukkan contoh kepada rakyat agar menghormati undang-undang.

Ditanya kemungkinan ada ADUN yang membuat pengisytiharan secara terus kepada SPRM, Koo Ham berkata beliau sudah membuat semakan kepada agensi itu dan mendapati tiada yang berbuat demikian.

Katanya, hasrat kerajaan negeri terhadap keputusan itu adalah untuk bersikap telus dan memastikan semua ADUN memperoleh harta secara sah.

Ditanya mengenai kedudukan susun atur kerusi DUN jika ada kemungkinan ADUN dari DAP mengisytiharkan keluar parti tetapi menyatakan sokongan kepada kerajaan, Koo Ham berkata, beliau tidak akan membuat keputusan berdasarkan spekulasi.

“Setiap kali ada Sidang DUN, akan ada spekulasi seperti ini, jadi kita tidak akan `masuk’ ke dalam spekulasi ini (dalam membuat keputusan),” katanya.

Beliau juga berkata, Sidang DUN Perak akan bermula pada 15 November ini dengan pembentangan Belanjawan negeri Perak 2020 dan kemudian bersambung pada 18 hingga 22 November.

Berita Harian X