Jumaat, 8 November 2019 | 3:48pm
BEBERAPA laluan di sekitar Klang menuju ke Lebuhraya Persekutuan yang ditenggelami air akibat banjir kilat. - Foto ihsan pembaca

Banjir kilat sekitar Klang akibat hujan lebat

KLANG: Hujan lebat yang melanda sejak awal tadi menyebabkan beberapa kawasan Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terbabit banjir adalah kawasan sekitar Pelabuhan Klang, Kota Raja dan Taman Perindustrian Sungai Rasau.

Pemilik bengkel kenderaan di Taman Perindustrian Sungai Rasau, R Thanabalan, 34 berkata beliau menerima panggilan daripada pekerja stesen minyak berdekatan bengkelnya pada jam 8.30 pagi dan memaklumkan kawasan sekitar bengkel dinaiki air.

“Saya tiba di bengkel jam 9 pagi dan melihat air setinggi 0.6 meter sudah memasuki dalam bengkel sehingga ke pejabat saya.

“Nasib saya baik kerana tiada kereta pelanggan ditinggalkan di sini, kalau tidak pasti saya akan menanggung kerugian besar seperti yang berlaku tahun lalu.

“Sebelum ini, saya terpaksa mengeluarkan wang lebih RM2,000 untuk menggantikan kerosakan pada kereta pelanggan yang terjejas akibat banjir,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tiada kerosakan besar yang dialami bengkelnya kecuali mesin tayar yang akan rosak setiap kali terkena air dan kos membaiki mesin berkenaan adalah sekitar RM200.

Katanya, kawasan itu kerap dilanda banjir dan boleh dikatakan setiap kali hujan lebat, air akan naik justeru beliau tidak mengambil risiko meninggalkan kenderaan pelanggan di bengkel terutamanya ketika musim hujan.

“Saya fikir apabila mereka menambahbaik kedalaman longkang, banjir kilat dapat di kawal bagaimanapun saya lihat tiada apa-apa perubahan.

“Sebelum ini, longkang berkenaan hanya sedalam kira-kira 1.2 meter dan sekitar setahun lalu ia ditambahbaik pada kedalaman 2.4 meter,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Taman TTDI Jaya mendapati air sungai naik pada awal pagi bagaimanapun tidak melimpahi tebing yang dibina.

Penduduk, Sakinah Mohamad, 45, berkata air sungai berkenaan naik mendadak ekoran hujan lebat yang melanda bermula jam 4 pagi.

“Alhamdulillah, hujan berhenti dan air tidak melimpah sehingga ke rumah penduduk,” katanya.

Berita Harian X