Jumaat, 8 November 2019 | 3:38pm
ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang ketika hadir di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. - Foto Hazreen Mohamad

Pantun sinis gamatkan DUN Sarawak

PETRA JAYA: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini gamat selepas beberapa wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyampaikan pantun sinis kepada Pakatan Harapan (PH).

Ia dimulakan Lo Khere Chiang (GPS - Batu Kitang) ketika membacakan soalan kepada Menteri Muda Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi mengenai projek pembinaan jejantas di Jalan Tawi Sli dan Jalan Kalong Ningkan.

Khere Chiang membacakan soalan itu bermula dengan pantunnya - `DUN bersidang di tingkat lapan, menabur janji dan juga harapan, Sentosa Pending pahlawan pakatan, janji kosong tiada harapan’. Tuan Speaker, soalan saya adalah nombor 228’, yang disambut sorakan wakil GPS.

Kemudian, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh menggamatkan lagi suasana melalui pantunnya - `Naik sampan pergi ke Kalaka, Singgah sebentar di Pakan Roban, Kalau tidak mahu kena bulak (tipu), Jangan undi Pakatan Harapan’.

Miro Simuh (GPS - Serembu) seterusnya bangun dan turut berpantun, namun beliau meminjam pantun sinis Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.

“Saya juga mahu berpantun, tetapi saya gunakan pantun Datuk Ahmad Maslan yang berbunyi ‘Tanam ganja tanam buluh, ganti getah ganti sawit, sudah terang lagi bersuluh, rakyat susah bertambah sakit,” katanya.

Khere Chiang yang ditemui selepas itu berkata, beliau sengaja berpantun untuk menceriakan suasana persidangan.

“Dengan berpantun, kita akan memeriahkan dewan dan pada masa yang sama, kita berharap wakil PH memahami maksud yang kita sampaikan dalam pantun itu.

“Saya sudah gunakan pelbagai cara untuk menegur wakil PH terutamanya Kota Sentosa (Chong Chieng Jen) dan Pending (Violet Yong) yang banyak menabur janji kosong dan kali ini saya gunakan pantun pula,” katanya.

Berita Harian X