Selasa, 5 November 2019 | 5:54pm
LIM Guan Eng (dua dari kanan) hadir pada sidang Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah. - Foto NSTP/Ramdzan Masiam
LIM Guan Eng (dua dari kanan) hadir pada sidang Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah. - Foto NSTP/Ramdzan Masiam

Projek pembesaran LTAPP diteruskan

GEORGETOWN: Kerajaan akan tetap meneruskan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) walaupun terdapat beberapa cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata fokus perlu diberikan terhadap projek itu berikutan ruang yang ada kini sudah tidak mampu menampung kesesakan di lapangan terbang berkenaan berikutan kapasiti penumpang bertambah.

Justeru, katanya, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu yang dibuat syarikat swasta melalui kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) itu tidak perlu dijadikan penghalang kepada usaha kerajaan memperbesarkan LTAPP.

“Jangan kita gugup dengan faktor lain (cadangan pembinaan lapangan terbang baharu) yang boleh menjejaskan projek pembesaran LTAPP, tambahan ia masih lagi dalam perancangan.

“Kita perlu pastikan projek ini (pembesaran LTAPP) diteruskan kerana lapangan terbang antarabangsa itu kini amat sesak, sehingga digambarkan seperti pasar malam,” katanya pada sesi perbahasan ucapan Bajet 2020 Pulau Pinang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok), mengenai implikasi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kepada LTAPP dan negeri berdekatan, Guan Eng (PH-Air Putih), berkata lapangan terbang sedia ada termasuk di Pulau Pinang tidak perlu takut bersaing dengan mana-mana lapangan terbang baharu lain, jika ia dibina kelak.

Ini kerana, katanya, setiap lapangan terbang mempunyai kelebihan masing-masing.

“Mengapa Pulau Pinang nak takut dengan persaingan baharu sekiranya kita ada platform sendiri? Mengapa (kita) takut berdaya saing, persaingan ini dilihat sesuatu yang baik,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata pihaknya bersedia meneruskan rancangan membesarkan LTAPP selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Katanya, MAHB sudah menjalankan projek pembesaran itu sejak dua tahun lalu dengan membawa perunding untuk merangka pelan pembinaan terperinci selepas berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Kerajaan Pulau Pinang, termasuk Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow pula sebelum ini dilaporkan berkata, projek pembesaran LTAPP dijadualkan bermula pada Jun 2020 dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.

Berita Harian X