Selasa, 5 November 2019 | 3:03pm
MAISARAH Ilham (kanan) bersama gurunya, Fazri Hassan (tengah) dan sebahagian pelajar di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, di Batu Sapi, Sandakan. - Foto NSTP/Poliana Ronnie Sidom
MAISARAH Ilham (kanan) bersama gurunya, Fazri Hassan (tengah) dan sebahagian pelajar di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, di Batu Sapi, Sandakan. - Foto NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Telatah Maisarah curi tumpuan warga maya

SANDAKAN: Kanak-kanak istimewa, Maisarah Ilham, 9, sentiasa mencuri tumpuan warga maya bukan saja kerana keadaan fizikalnya tetapi telatahnya yang comel.

Anak kedua daripada lima beradik itu mempunyai ketinggian 94 sentimeter dengan berat 17 kilogram (kg) sering kali menjadi tular sehingga ke luar negara menerusi beberapa video, termasuk yang menunjukkannya bermain ‘Hula Hoop’.

Maisarah yang belajar di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, di Batu Sapi di sini adalah penghidap sindrom lewat perkembangan menyeluruh (Global Development Delay) (GDD) dan mula dikenali selepas video itu dimuat naik gurunya, Muhamad Fazri Hassan di Twitter sejak awal tahun ini.

Malahan, Maisarah kini mempunyai lebih 15,000 pengikut di Instagram yang diwujudkan keluarganya bagi membolehkan peminat kanak-kanak comel itu mengikut perkembangannya.

Fazri berkata, pada awalnya beliau memuat naik setiap gambar dan video di Twitter untuk berkongsi mengenai aktiviti kanak-kanak istimewa di sekolah itu.

“Ramai yang suka melihat Maisarah kerana kanak-kanak itu comel dengan bentuk fizikalnya, malah setiap kali saya muat naik video, netizen akan mengikuti perkembangannya.

“Selepas Maisarah mula dikenali, beberapa pihak tampil beri bantuan kepada sekolah. Bukan saja di sini, malah ada warga Hong Kong yang beri sumbangan pendingin hawa kepada sekolah. Murah rezeki kanak-kanak sekolah ini,” katanya ketika ditemui di sekolah itu.

PPKI SK Gas yang terletak di Batu Sapi, di sini mempunyai seramai 20 murid yang menghidap pelbagai masalah antaranya GDD, masalah pembelajaran, autisme, cerebral palsy, hiperaktif dan sindrom down.

Selain video bermain Hula Hoop, beberapa video Maisarah yang mencuri tumpuan adalah reaksi pelik terhadap eksperimen berkaitan telur di sekolahnya, latihan lumba lari, naik bukit dan beberapa lagi video menunjukkan aktivitinya.

Berita Harian X