Selasa, 5 November 2019 | 12:27pm
Ustaz Azhar Idrus ketika menyertai Kayuhan Santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar Bandaraya, Kuala Terengganu. - Foto ihsan Pembaca
Ustaz Azhar Idrus ketika menyertai Kayuhan Santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar Bandaraya, Kuala Terengganu. - Foto ihsan Pembaca

Ustaz Azhar Idrus jalani pembedahan

KUALA TERENGGANU: Penceramah bebas, Azhar Idrus, yang patah tangan kiri akibat kemalangan basikal semalam, akan menjalani pembedahan hari ini.

Pembantu Khasnya, Wan Safari Wan Ahmad, berkata penceramah yang dikenali dengan akronim UAI itu dilaporkan stabil dan dijadualkan menjalani pembedahan di lengan kiri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Pembedahan mungkin mengambil masa empat jam. Selain patah tangan kiri dan hidung, beliau turut patah dua gigi hadapan kerana kejadian itu.

“Ustaz Azhar stabil dan sempat bergurau dengan saya mengenai dua giginya yang patah ketika ditemui di hospital malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Safari berkata, Azhar memerlukan rehat secukupnya dan belum bersedia menerima pelawat.

Sehubungan itu, orang ramai diminta bersabar dan memberi masa kepada penceramah itu berehat selepas menjalani pembedahan.

“Doakan kesembuhan beliau dan semoga urusan pembedahan serta rawatan berjalan lancar,” katanya.

Azhar dilaporkan terjatuh basikal ketika perjalanan pulang ke rumah semalam, selepas menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya ini kira-kira jam 6.30 petang.

Dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara, basikal ditunggang Azhar dikatakan berhenti mengejut dan menyebabkannya tercampak.

Berita Harian X