Isnin, 4 November 2019 | 2:19pm
MURID Program Pendidikan Khas (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Sandakan menyertai latihan akuatik asas menggunakan kanvas. - Foto Ihsan Fazri Hassan
MURID Program Pendidikan Khas (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Sandakan menyertai latihan akuatik asas menggunakan kanvas. - Foto Ihsan Fazri Hassan

Guna cara kreatif ajar murid berenang

SANDAKAN: Tiada kemudahan dan tidak mampu membawa murid ke kolam renang mendorong guru Program Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, di sini menggunakan kanvas yang dibentang menjadi tikar untuk memberi latihan asas renang kepada murid.

Ia sepatutnya dilaksanakan dua kali setahun untuk memberi pendedahan kepada murid orang kelainan upaya (OKU), namun tidak mampu diadakan di kolam renang kerana memerlukan bantuan jurulatih berlesen, selain atas faktor keselamatan murid terbabit.

Guru, Fazri Hassan, 26, berkata latihan pertama diadakan awal tahun ini di Taman Air, Indah Jaya, di sini, namun berdepan isu kekurangan sumber kewangan untuk meneruskan sesi latihan kedua.

“Hasil perbincangan dengan semua guru, kami guna kanvas untuk mengajar latihan asas itu, malah kami turut membeli kolam kecil mudah alih untuk memberi murid memberi sedikit rasa di dalam air. Jika diikutkan, banyak prosedur perlu dipatuhi untuk mengajar topik itu, selain memerlukan perbelanjaan besar.

“Justeru, kami memutuskan supaya pengajaran itu dilakukan di sekolah mengikut kemampuan kerana yang lebih penting ialah murid mendapat pendedahan,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

SK Gas memiliki 20 murid istimewa berusia antara lapan hingga 12 tahun, dengan kebanyakannya menghidap masalah pembelajaran, autisme, cerebral palsy dan hiperaktif.

Baru-baru ini, video murid berenang di atas kanvas yang dimuat naik oleh Fazri di laman sosial menarik perhatian orang ramai yang memberi komen positif terhadap usaha guru berkenaan.

Melalui aktiviti itu, Fazri bersama guru lain membentangkan dua kanvas untuk mengajar murid beberapa teknik berenang, sambil ada guru menyiram air kepada murid.

“Biarpun serba kekurangan tetapi murid berasa seronok. Ibu bapa mereka dapat menerima idea itu kerana ia membantu program pemulihan dan terapi untuk pergerakan fizikal. Ini turut membantu perkembangan kanak-kanak OKU secara menyeluruh dapat menerima idea berkenaan,” katanya.

.

Berita Harian X