Isnin, 4 November 2019 | 8:06am
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin. - Foto Mohd Rafi Mamat
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin. - Foto Mohd Rafi Mamat

Guna helikopter kesan penceroboh hutan

KUANTAN: Penggunaan helikopter disifatkan kaedah paling berkenaan bagi operasi pemantauan dan penguatkuasaan, khusus bagi membendung kegiatan pencerobohan hutan di negeri ini.

Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata operasi itu yang diketuai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas maklumat lengkap lokasi pencerobohan berkenaan diperoleh.

Katanya, kerjasama penguatkuasaan itu diharapkan mampu membendung kegiatan pencerobohan hutan di negeri ini, termasuk hutan simpan untuk aktiviti perladangan, pembalakan dan perlombongan yang agak berleluasa.

“Kerjasama JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sebelum ini hanya membabitkan operasi bersepadu menggunakan jalan darat di beberapa daerah seperti Raub, Lipis dan Rompin. Melalui kaedah penguatkuasaan udara, kita yakin ia mampu memberi banyak kejayaan dalam membantu usaha ini.

“Seterusnya, kita dapat menahan kumpulan yang terbabit dalam aktiviti pencerobohan hutan simpan. Kita pernah menggunakan helikopter untuk aktiviti pemantauan hutan sebelum ini, namun terpaksa diberhentikan disebabkan beberapa faktor berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pertemuan Bulanan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang di Dewan Kompleks Yayasan Pahang, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Grippin Akeng.

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata aktiviti perlombongan emas secara haram banyak berlaku di Rompin, Lipis dan Raub.

“Untuk menyekat kegiatan berkenaan daripada terus berlaku operasi lombong diadakan setiap tahun dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita yakin pemantauan melalui udara yang akan diadakan tidak lama lagi diharap dapat mengesan pelbagai aktiviti haram yang berlaku dalam hutan simpan di negeri ini yang keseluruhannya berkeluasan kira-kira 2.5 juta hektar.

“Selepas mengesan lokasi pencerobohan, anggota penguat kuasa akan bertindak segera melakukan serbuan menggunakan jalan darat. Faktor bentuk muka bumi negeri ini yang berbukit dan hutan tebal memberi sedikit kesukaran pada anggota unit penguatkuasaan mengesan aktiviti pencerobohan hutan secara haram,” katanya.

Berita Harian X