Rabu, 23 Oktober 2019 | 1:28pm
PENDUDUK kampung membuat paip air di Masjid At-Taqwa. - Foto Hassan Omar

Lebih jimat guna 'paip boring'

MELAKA: Gangguan bekalan air selama 26 hari, bulan lalu mendorong penduduk Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling, di sini mengambil inisiatif membuat `paip boring’ atau paip gerusi bagi mengelak kejadian itu berulang.

Ia juga bagi memastikan Masjid At-Taqwa di kampung itu sentiasa memiliki bekalan air mencukupi, termasuk ketika musim kemarau, sekali gus memastikan keselesaan jemaah.

Pengerusi Masjid At-Taqwa, Rahiman Hassan, 50, berkata ahli kariah kampung itu amat tertekan dengan gangguan bekalan air bersih selama 26 hari yang berakhir pada 30 September lalu berikutan kekurangan air di beberapa empangan utama di negeri ini.

“Kami amat tertekan dengan keadaan itu dan terpaksa mencari alternatif lain untuk mengelakkan ia berulang dan kaedah yang paling sesuai ialah membina `paip boring’ sedalam kira-kira 2.7 meter.

“Kerja menggerudi itu dilakukan selama dua hari yang berakhir hari ini dan mata air dijumpai pada kedalaman kira-kira 1.8 meter tetapi kontraktor terus menggerudi hingga ke paras 2.7 meter,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Katanya, mata air berkenaan dipam ke salur paip sebelum diagihkan ke tempat mengambil wuduk dan tandas bagi memastikan semua pihak berpeluang menggunakannya.

Beliau mendakwa, sumber mata air yang dipam ke dalam paip mampu mengurangkan bil air masjid, selain lebih berkualiti berbanding air paip yang disalurkan dari loji rawatan air.

Rahiman berkata, ahli kariah kampung itu sepakat menghulurkan sumbangan masing-masing bagi melengkapkan kos pembinaan `paip boring’ sebanyak RM5,000 kerana mereka tidak mahu jemaah masjid tidak mampu menunaikan solat akibat ketiadaan air.

Gangguan bekalan air berlaku mulai awal September lalu yang menyebabkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) terpaksa menghantar air dengan lori tangki ke seluruh kampung itu dan kampung lain di daerah Melaka Tengah yang turut terjejas.

Berita Harian X