Rabu, 23 Oktober 2019 | 1:21pm
PENGARAH JHLS, Augustine Tuuga. - Foto Edmund Samunting

JHLS tunggu laporan forensik gading gajah

thaddius@bh.com.my

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) masih menunggu laporan forensik bagi mengesahkan sama ada gading gajah dirampas daripada suspek kes kematian gajah pygmy Borneo akibat ditembak di Dumpas, Kalabakan bulan lalu adalah milik hidupan liar itu.

Pengarah JHLS, Augustine Tuuga menjelaskan pengesahan itu penting bagi melengkapkan kertas siasatan JHLS sebelum enam suspek berkaitan kes berkenaan yang ditahan baru-baru ini di FELDA Umas, Tawau didakwa di mahkamah.

Katanya, proses itu mengambil masa memandangkan pegawai pendakwa JHLS juga perlu meneliti hasil siasatan dan bukti mengenai jenayah dilakukan terhadap hidupan liar terbabit, selain menyelesaikan beberapa lagi kes berkaitan.

“Gading ditemui itu perlu disahkan pihak forensik bagi melengkapkan siasatan dan selepas itu kita perlu meneliti hasilnya sebelum pendakwaan dilakukan. Kita sebolehnya mahu proses itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Pada 2 Oktober lalu, dua gading milik gajah yang mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas, ditemui disembunyikan dalam kebun buah-buahan milik koperasi FELDA Umas 4, kira-kira 10 kilometer dari lokasi bangkai haiwan itu ditemui.

Lokasi gading gajah itu ditunjukkan seorang daripada enam suspek kes berkenaan yang kemudian direman untuk membantu siasatan.

Ditanya perkembangan kes penemuan terbaharu bangkai gajah di Beluran pada Sabtu lalu, Augustine memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita belum dapat mendedahkan hasil siasatan lanjut kerana ia masih dilakukan. Walaupun sebelum ini sudah didedahkan bahawa tiada peluru ditemui dalam bedah siasat dijalankan, proses siasatan belum selesai.

“Lagipun ketika bedah siasat dijalankan, keadaan sudah lewat petang selain keadaan bangkai gajah yang sudah busuk menyukarkan kita untuk melihat secara jelas punca kematiannya termasuk memastikan sama ada ia mati akibat ditembak atau sebaliknya,” katanya.

Siasatan JHLS terhadap kedua-dua kes dibuat mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi.

Sementara itu, Augustine mendedahkan pihaknya bergantung kepada kerjasama syarikat perladangan dan penduduk kampung untuk mengawal pergerakan gajah dan memantau aktiviti pemburuan haram hidupan liar itu di kawasan masing-masing.

Beliau menjelaskan keadaan itu disebabkan kekangan anggota renjer yang terhad, selain kawasan habitat gajah yang luas menyukarkan pemantauan terhadap hidupan liar itu tanpa kerjasama dengan pihak lain.

“Ketika ini JHLS hanya ada kira-kira 60 anggota renjer hidupan liar, itupun bukan semua yang menjalankan kerja pemantauan di kawasan habitat hidupan liar kerana ada yang ditempatkan di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan sanktuari hidupan liar, selain di Gua Gomantong dan Madai.

“Secara purata, hanya ada empat renjer ditempatkan di setiap daerah dan ia memang tidak mencukupi untuk melaksanakan pemantauan tanpa kerjasama penduduk kampung dan pihak lain, khususnya syarikat perladangan,” katanya.

Ketika ini, beberapa syarikat perladangan seperti Sawit Kinabalu dan Sabah Softwood di Tawau serta Kalabakan selain penduduk di Beluran dan Sukau, Kinabatangan terbabit dalam usaha membantu JHLS mengawal gajah di kawasan terbabit.

Berita Harian X