Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:38pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada sidang media selepas merasmikan program penanaman pokok di Penang Science Park-North, Batu Kawan, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ramdzan Masiam

Pulau Pinang yakin capai sasaran pelaburan RM12 bilion

sitiazila@bh.com.my

BATU KAWAN: Aliran pelaburan masuk ke Pulai Pinang dijangka mencecah RM12 bilion menjelang akhir tahun ini seperti yang disasarkan, melepasi rekod dicapai pada tahun sebelumnya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keyakinan bersandarkan beberapa rundingan yang sedang berlangsung membabitkan sektor elektrik dan elektronik, antara penyumbang terbesar kepada pelaburan industri di negeri ini.

Katanya, rundingan itu kini sudah berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan sebelum dapat dimeterai seterusnya dilaksanakan tahun depan.

“Pulau Pinang terus memainkan peranan sebagai negeri yang menerajui pembangunan industri negara, khusus dalam sektor elektrik dan elektronik. Malah, pelaburan masuk (ke Pulau Pinang) juga kebanyakannya daripada sektor ini.

“Kita percaya jumlah keseluruhan pelaburan masuk direkodkan tahun ini akan mencapai RM12 bilion atau lebih, namun kita hanya akan mengetahuinya selepas ini yang mana ia akan diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Penanaman Pokok Ulangtahun Ke-50 Perbadanan Pembagunan Pulau Pinang (PDC) di Penang Science Park-North, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengurus Besar PDC, Datuk Mohd Bazid Abdul Kahar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud.

Bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi penjana ekonomi negara, Kon Yeow berharap PDC berperanan lebih aktif dalam merebut peluang pelaburan.

“Perang perdagangan Amerika Syarikat - China memperlihatkan lebih banyak pelaburan masuk ke rantau Asia Tenggara, khusunya Malaysia dan Pulau Pinang.

“Justeru, saya berharap pasukan pengurusan PDC dapat menyahut peluang yang datang ke Pulau Pinang, bukan saja daripada pelabur luar tetapi juga tempatan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 100 pokok ditanam di pada program terbabit di kawasan Penang Science Park-North.

Kon Yeow berkata, program seumpamanya sudah dimulakan pada Ogos lalu membabitkan penanaman 100 pokok di Persiaran Cassia Barat 3 dan akan diteruskan di kawasan lain dengan jumlah keseluruhan 506 pokok.

Turut diadakan kerja-kerja landskap di sepanjang taman perindustrian itu membabitkan kos keseluruhan RM936,398 yang sudah pun bermula September lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.

Berita Harian X