Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:57am
ZAILANI Ismail menunjukkan hidangan bihun sup dan bubur nasi yang dijual dengan harga RM1 di tepi jalan di Kampung Delima. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Jual makanan RM1 demi keberkatan

TUMPAT: Mi, bihun, kuetiaw sup dan bubur nasi yang dijual pada harga RM1 semangkuk menimbulkan pertanyaan sama ada penjualnya boleh mendapat keuntungan.

Jika diikutkan harga sedemikian seperti tidak masuk akal namun faktor itu menyebabkan perniagaan Zailani Ismail, 47, yang dijalankan di tepi jalan di Kampung Delima, di sini, semakin laris.

Dia mengakui keuntungan yang diperoleh agak kecil, namun konsep yang diperkenalkan sejak empat bulan lalu di premisnya yang dinamakan Kedai Mak Aji Stesen Kampung Delima, berjaya menarik perhatian ramai, terutama selepas tular di media sosial.

Beliau berkata, konsep jualan makanan pada harga RM1 dicadangkan oleh anak sulungnya selepas pendapatan dan perniagaan kedai makan diusahakan selama 20 tahun sebelum itu terjejas teruk berikutan masalah kesihatan.

“Saya mengidap kencing manis beberapa tahun dahulu yang menyebabkan dua mata buta. Selepas menjalani pembedahan, penglihatan saya pulih namun diuji pula dengan penyakit buah pinggang tahap lima sejak tiga tahun lalu menyebabkan saya kerap keluar masuk wad.

“Bermula dari situ, pendapatan saya menjadi tidak menentu kerana perniagaan terjejas teruk dan saya pula perlu menjalani rawatan hidrolisis sebanyak tiga kali seminggu

“Bagi meneruskan perniagaan yang semakin hari semakin terjejas, suatu hari anak sulung saya mencadangkan konsep jualan RM1 dengan hidangan mi, bihun, kuetiaw sup dan bubur nasi dan memang pada awalnya saya tidak yakin akan memperoleh keuntungan,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini, baru-baru ini.

Zailani berkata, perniagaan mereka tidak membuahkan hasil pada peringkat awal mencuba konsep jualan itu, menyebabkan mereka sekeluarga hampir berputus asa.

“Anak saya kemudian mencadangkan supaya membuat hebahan menerusi laman sosial dan tidak sangka selepas itu ia menjadi tular dan kedai kami semakin dibanjiri pelanggan.

“Setiap hari secara purata saya mampu memperoleh sekitar RM100 sehingga RM200 keuntungan kerana turut menyediakan menu masakan panas lain dengan harga berpatutan. Walaupun untung itu agak kecil, apa yang penting bagi kami adalah keberkatan,” katanya yang turut menerima elaun dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Seorang pelanggan, Nor Ain Fatihah Mat Jusoh, 27, berkata boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan singgah di Kedai Mak Aji Stesen Kampung Delima untuk menikmati bubur nasi bersama anaknya.

“Selain rasanya yang enak, harganya yang sangat murah juga menjadi penarik bagi pelanggan untuk terus datang kerana memang tiada kedai lain di sini menjalankan jualan cara sebegini (jualan harga RM1).

“Kalau diikutkan harga, memang tidak logik kerana menu itu turut dicampur cebisan isi ayam atau telur tapi keistimewaan itu sebenarnya yang menarik pelanggan,” katanya.

Berita Harian X