Rabu, 23 Oktober 2019 | 7:10am
TIMBALAN Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embah.

Sarawak percepatkan pembangunan kawasan tanah tinggi

MIRI: Sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan negeri kepada Lembaga Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di kawasan tanah tinggi di Bahagian Miri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embah, berkata penumpuan lebih kepada pembinaan jalan raya dan kemudahan asas berkaitan, denganm kesalinghubungan itu mampu merangsang pembangunan dan sosio-ekonomi setempat di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, RM345.9 juta diperuntukkan untuk empat projek jalan raya dan satu jambatan, manakala RM20 juta bagi membiayai projek bekalan air untuk Long Silat dan Long Jekitan,” katanya pada sesi bertemu rakyat di Kampung Long Jeeh, Baram, di sini semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, berkata kawasan tanah tinggi di wilayah utara negeri ini berpotensi besar untuk industri pertanian, termasuk penternakan, agro tani dan produk makanan.

“Untuk projek pertanian, salah satu tumpuan utama adalah penanaman tanaman makanan dan untuk memastikan kejayaan projek, ia akan membabitkan penyertaan sektor swasta.

“Kita akan membantu pekebun kecil dan kami akan membawa syarikat-syarikat besar serta menanam tanaman seperti durian, pisang, kopi, nanas dan lain-lain untuk eksport,” katanya.

Sementara itu, Uggah menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri cuba `merampas’ Tanah Adat Bumiputera (NCR) melalui kajian perimeter yang sedang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

“Operasi (kajian perimeter) adalah untuk mengenal pasti tanah NCR mereka dari tanah kerajaan negeri,” katanya sambil menambah kajian itu akan diperluaskan ke kawasan lain di Baram,” katanya.

Mengenai tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengulangi pendirian menolak cadangan itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat, terutama di rumah panjang dan kampung di luar bandar. - BERNAMA

Berita Harian X