Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:05pm
Timbalan Pengarah Ketua Operasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong, menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Inanam, Abdul Latif Mopuas selepas Majlis Pelancaran Program Promosi Pencegahan Denggi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, di Menggatal. Turut kelihatan, Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Julaidah Sharip serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa COMBI Kebaangsaan, Firdaus Petrus Abdullah. - Foto Edmund Samunting

Lebih banyak jawatankuasa COMBI diwujudkan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) akan diperluaskan ke kawasan taman dan kampung sekitar daerah ini dalam usaha membanteras tempat berisiko menjadi lokaliti wabak denggi.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Julaidah Sharip, berkata setakat ini ada 16 lokaliti COMBI di kawasan Kota Kinabalu membabitkan taman dan kampung yang sudah ada jawatankuasa COMBI.

“Kita akan tambah lagi kampung dan taman untuk mewujudkan jawatankuasa COMBI di tempat lain,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Promosi Pencegahan Denggi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam di Menggatal dekat sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Pengarah Ketua Operasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong, yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.

Yang turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Inanam, Abdul Latif Mopuas dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa COMBI Kebangsaan, Firdaus Petrus Abdullah.

Antara kawasan yang sudah ada jawatankuasa COMBI ialah Tanjung Aru, Sembulan, Luyang, Taman Foh Sang, Menggatal dan Inanam.

Mengulas lanjut, Dr Julaidah berharap semua jawatankuasa COMBI itu giat menjalankan promosi dan kesedaran mengenai pencegahan denggi.

Tambahnya, memang ada wabak denggi di beberapa lokaliti di Kota Kinabalu tetapi keadaan adalah terkawal kerana Jabatan Kesihatan sentiasa menjalankan pencegahan dan kawalan jika ada wabak denggi.

Sementara itu, Lifred berkata program itu akan diteruskan di kawasan lain sekitar Kota Kinabalu dan bukan hanya di DUN Inanam saja.

“Usaha Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu menjalankan program ini dengan kerjasama Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan DBKK amat baik kerana menerusi jawatankuasa COMBI, mereka boleh menyebarkan maklumat mengenai wabak denggi kepada penduduk kampung dan keluarga sendiri,” katanya.

Berita Harian X