Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:51pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri. - Foto Hairul Anuar Rahim

Projek jambatan, jalan Sungai Pulai lonjak ekonomi setempat

PONTIAN: Pembinaan jambatan dan jalan merentasi Sungai Pulai dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Tanjung Bin, yang kini rancak dibina, bakal melonjakkan potensi ekonomi masyarakat setempat apabila siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri, berkata, setakat ini status pembinaan tiga jambatan dan jalan sepanjang 7.5 kilometer itu sudah siap 20 peratus mengikut jadual.

Katanya, dengan siapnya jambatan ini, ia adalah satu sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi di kawasan setempat yang akan membuka peluang kepada industri baharu di sekitar Tanjung Bin.

“Dalam lima hingga enam tahun akan datang, saya jangka memberi kemudahan kepada lebih 100,000 penduduk, iaitu kawasan Parlimen Tanjung Piai dan Pontian dan seterusnya PTP, Gelang Patah dan Johor Bahru,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek berkenaan, di sini, hari ini.

Laluan baharu itu juga akan memendekkan perjalanan penduduk ke Johor Bahru, menjimatkan masa daripada 51 minit kepada 15 minit sahaja.

Projek inisiatif swasta itu menelan kos sebanyak RM673.483 juta, dijangka siap pada 31 Oktober 2021.

Mohd Solihan berkata, kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan projek infrastruktur yang dilaksanakan bagi memastikan ia mengikut jadual.

Mengulas mengenai projek itu yang terletak berhampiran dengan hutan simpan paya bakau, beliau berkata kontraktor yang melaksanakan projek itu menggunakan kaedah termoden dan mematuhi ketetapan yang ditetapkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar.

“Kita sangat menjaga kesan projek ini kepada alam sekitar tetapi saya suka mengingatkan kepada mereka (kontraktor) supaya apa yang dibuat (tidak mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar), masa lawatan pun saya lihat, tiada kesan kepada air sungai, diharapkan tiada pencemaran kepada alam sekitar,” katanya.

Projek itu yang meliputi sebahagian besar kawasan berpaya untuk diubah suai sebagai jalan, berbanding menggunakan tanah rata disifatkan satu projek yang kompleks, justeru ia mengambil masa panjang untuk dilaksanakan. – BERNAMA

Berita Harian X