Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:42pm
Banjir di Lorong 1, Jalan Lurah 19, Kempas Baru, Kempas. - Ihsan Bomba
Banjir di Lorong 1, Jalan Lurah 19, Kempas Baru, Kempas. - Ihsan Bomba
Hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Kampung Pulai dan Ulu Pulai. - Ihsan Bomba

15 rumah ditenggelami banjir di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Air banjir setinggi 1.52 meter menenggelamkan hampir 15 rumah di Kampung Ulu Pulai dan Kampung Pulai selepas lebih lima jam hujan lebat melanda sejak pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Suraini Adnan, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.19 tengah hari tadi.

Katanya, sebuah jentera dari BBP Skudai dengan sembilan anggota dikejarkan ke Kampung Pulai dan Ulu Pulai sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Status terkini paras air masih meningkat berikutan air Sungai Pulai pasang menyebabkannya melimpah ke kawasan rendah.

“Operasi pemindahan mangsa juga sedang dijalankan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Anggota bomba membawa mangsa banjir menaiki bot selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Pulai dan Ulu Pulai. - Ihsan Bomba

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, berkata banjir kilat sedalam kira-kira satu meter turut melanda kawasan Jalan Lurah 19, Kempas, Johor Bahru dan menjejaskan tiga buah rumah di situ, namun keadaan semakin pulih dan tiada pemindahan mangsa dilakukan.

Dalam perkembangan berkaitan, 42 mangsa daripada sembilan keluarga terjejas apabila rumah mereka dinaiki air di Kampung Parit Basilam dan Kampung Maju Jaya di Pontian, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, berkata semua mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Madrasah Parit Silam dan Homestay Kampung Maju Jaya sejak jam 6 petang.

Selain itu, katanya, sebahagian kawasan di Kampung Sari Baru dan Kampung Seri Gelam di Muar turut terjejas apabila tiga rumah dilanda banjir kilat jam 11 pagi tadi, namun tiada mangsa dipindahkan dan air dilaporkan semakin surut.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian sedemikian dan pihak berkuasa termasuk bomba, APM, polis, pejabat tanah dan daerah sentiasa memantau keadaan dan akan memberikan bantuan segera.

Berita Harian X