Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:15pm
BANJIR berikutan hujan lebat petang semalam di Taman Tembikai, Bukit Mertajam. NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Sembilan jam kutip 32 tan sampah daripada banjir kilat

BUKIT MERTAJAM: Sejumlah 32 tan sisa sampah dikutip Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di 10 rumah pam sekitar daerah ini berikutan banjir kilat yang melanda sejak petang semalam.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata pihaknya menjalankan kerja pembersihan sisa sampah di rumah pam untuk membantu menyelesaikan masalah banjir yang berlaku.

Beliau berkata, apabila kakitangannya mengambil tempoh selama sembilan jam bermula dari jam 7 malam semalam untuk membersihkan kesemua sisa sampah yang ditemui.

“Seramai 456 kakitangan MBSP turun ke 10 rumah pam di kawasan terbabit banjir bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan membabitkan 19 kenderaan.

“Bayangkan dalam tempoh sembilan jam bekerja sejumlah 32 tan sampah dikutip dan ia sesuatu yang mengejutkan,” katanya pada sidang media bersama beberapa pemimpin tempatan berhubung isu banjir di sini, hari ini.

Sisa sampah itu masuk ke saliran rumah pam akibat sikap individu tidak peduli kepada penjagaan alam sekitar.

Rozali berkata, pada musim taburan hujan sangat tinggi ditambah pula dengan fenomena air laut pasang yang menyebabkan banjir kilat mudah berlaku.

“Sikap individu yang membuang sampah di tepi jalan, parit dan sungai mengeruhkan lagi keadaan apabila air sukar mengalir lalu menyebabkan banjir tidak dapat surut,” katanya.

Sementara itu, sehingga kini, seramai 105 mangsa daripada 27 keluarga masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

PPS Dewan Orang Ramai Bukit Teh dan Dewan Perda Timur yang sebelum ini menempatkan 33 orang daripada enam keluarga sudah ditutup dan semua mangsa banjir di benarkan pulang ke rumah masing-masing.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang menasihatkan supaya semua penduduk berjaga-jaga dengan fenomena air pasang dan hujan lebat termasuk mengambil langkah dengan menjaga alam sekitar khususnya kawasan sungai serta perparitan.

Taburan hujan tinggi iaitu melebihi 100 milimeter(mm) di Lembangan Sungai Juru dan Sungai Junjung menyebabkan 47 kawasan di sini terjejas akibat banjir kilat.

Difahamkan, kawasan taman rimba cheruk tokun turut terjejas apabila kawasan pembaikan cerun dikatakan terdapat kejadian tanah runtuh namun keadaan masih terkawal.

Berita Harian X