Selasa, 22 Oktober 2019 | 4:33pm
ANGGOTA Jabatan Kesihatan Selangor memeriksa label pada produk makanan Ops Khas Akuan Kesihatan, baru-baru ini. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Selangor

648 produk makanan kesihatan RM20,650 dirampas

SHAH ALAM: Sebanyak 648 produk makanan pelbagai jenis bernilai RM20,560 dirampas dan disita oleh Jabatan Kesihatan Selangor dalam dalam Ops Khas Akuan Kesihatan di seluruh negeri itu pada 17 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata produk makanan berkenaan dirampas hasil pemeriksaan di 16 premis jualan, kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk makanan yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Selain daripada merampas produk makanan, sebanyak 10 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun, dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM30,000.

“Antara kesalahan yang paling ketara dikenalpasti adalah terdapat akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan dan mengandungi pernyataan mengenai khasiat sesuatu makanan dalam perawatan atau penyembuhan penyakit tertentu.

“Selain itu, perihal penandaan tarikh juga dititikberatkan dengan penjualan atau mengimport produk makanan yang sudah tamat tempoh adalah tidak dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, perkara lain yang turut diperiksa bagi semua label makanan adalah berkenaan nama dan alamat pengilang yang perlu dinyatakan iaitu bagi produk makanan yang dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di Malaysia, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar.

Katanya, bagi produk makanan yang diimport, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang di luar negara serta nama dan alamat syarikat pengimport di Malaysia.

“Jabatan Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengambil inisiatif dengan menjalankan operasi ini berikutan terdapat lambakan produk kesihatan yang mempunyai akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan dan boleh memperdayakan pengguna sehingga mendatangkan kemudaratan.

“Objektif operasi ini adalah untuk mengenalpasti kepatuhan akuan yang dibenarkan pada pelabelan produk makanan dan minuman kesihatan yang berada di premis jualan,” katanya.

Dr Khalid berkata, operasi berkenaan mensasarkan premis yang menjual produk makanan kesihatan seperti farmasi, kedai jamu dan kedai jualan runcit.

Berita Harian X