Selasa, 22 Oktober 2019 | 4:29pm
PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Jaiya Abu (dua dari kiri) mengumumkan penentuan harga maksimum barangan harga terkawal SHMMP Deepavali 2019 peringkat negeri di Bachang, hari ini. - Foto ihsan KPDNHEP

Skim harga maksimum beri kelebihan pengguna, peniaga

MELAKA: Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi 19 barangan harga terkawal sempena Deepavali kali ini adalah strategi berkesan kepada pengurusan rantaian bekalan sehingga ke peringkat pengguna.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Jaiya Abu, berkata penetapan skim berkenaan bukan saja mengekang usaha barangan terkawal dijual pada harga lebih tinggi malah memberi kelebihan kepada pengguna.

“Jika pemborong dan peniaga mengambil inisiatif dengan menjual barangan terkawal dengan harga lebih murah daripada penetapan harga maksimum oleh kerajaan, ia adalah kelebihan bagi pengguna.

“Ia juga strategi berkesan kepada pengguna, walaupun sedikit margin keuntungan dan barangan dijual pada harga lebih rendah tetapi sekurang-kurangnya jumlah barangan terjual akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan penentuan harga maksimum barangan harga terkawal SHMMP Deepavali 2019 peringkat negeri di Bachang, di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini, dilaporkan berkata pelaksanaan SHMMP Deepavali 2019 bermula Ahad lalu, dengan tiga barangan baharu disenaraikan iaitu cili kering, kubis bulat import dari Indonesia dan China serta bendi menjadikan 19 barangan, berbanding 16 barangan sebelum ini.

Justeru, Jaiya berkata peniaga digalakkan untuk menjual barangan dengan kadar lebih rendah daripada harga maksimum, jika memperoleh bekalan dengan harga lebih rendah daripada pemborong.

Sementara itu, Jaiya berkata KPDNHEP negeri merekodkan 315 dengan nilai rampasan melebihi RM1 juta dan jumlah kompaun dikeluarkan sebanyak RM310,655 di 25,329 premis yang diperiksa sekitar negeri itu, sejak Januari hingga setakat ini.

Pecahan kes masing-masing mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 98 kes, Akta Kawalan Bekalan 1961 (15), Akta Sewa Beli 1967 (5), Akta Perihal Dagangan 2011 (60), Akta Timbang dan Sukat 1972 (86), Akta Hakcipta 1987 (4), Akta Jualan Langsung 1993 (2) dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (45), berbanding 290 kes pada 2018.

Berita Harian X